fbpx

Isteri Da’i Farhan Tak Mengaku Salah Dakwaan Tipu Wang RM10,050

Semalam kecoh mengenai berita dimana isteri kepada juara program Da’i musim kedua telah ditahan pihak polis atas dakwaan menipu seorang pelanggan sehingga RM11,000 berkaitan urusan sijil Halal dan juga sijil KKM bagi produk jamu.

Akhirnya, teka-teki mengenai identiti wanita tersebut terjawab apabila isteri Da’i Farhan iaitu Dr Erin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. Bagaimanapun, Dr Erin atau nama sebenarnya Noorainul Naqim Mohd Radzi mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

BACA: Terlibat Kes Tipu, Netizen Dakwa Isteri Da’i Farhan Ditahan?

Mengikut kertas pertuduhan, Dr Erin didakwa memperdayakan mangsa dengan menjanjikan untuk menguruskan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi produk jamu.

Mangsa mendakwa sudah membayar sebanyak RM10,050 kepada tertuduh namun sehingga tahun lalu tiada sebarang proses mengenai perjanjian dibuat. Kejadian itu berlaku pada 21 Disember 2017 hingga 26 Februari 2018 di Kelompok Nuri B, Taman Keramat Wangsa.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada mahkamah. Peguam bela, Sheik Abdullah Abdul Malik merayu agar mengurangkan jaminan memandangkan anak guamnya menanggung lapan anak berusia lima hingga 19 tahun.

Turut kelihatan Da’i Nik Ahmad Farhan hadir ke mahkamah pada pukul 9.30 pagi tadi sebagai penjamin.

Majistret kemudian memerintahkan tertuduh membayar jaminan sebanyak RM4,000 dan menetapkan 3 April ini untuk sebutan kes.