fbpx

Isa Khan Kumpul Duit 6 Bulan Hadiahkan Audi Buat Risteena

Genap setahun bercinta, Isa Khan menghadiahkan tunangnya, Risteena sebuah kereta mewah jenama Audi. Menurut Isa, dia mengambil masa enam bulan untuk menyimpan wang sebelum membelikan kereta itu sebagai hadiah ulang tahun perkenalan mereka.

Isa berkata, wang simpanan berkenaan merupakan hasil penat lelahnya selama ini yang mengusahakan perniagaan produk makanan tambahan miliknya iaitu “Lovit”. Ujarnya, hadiah itu sebagai tanda penghargaan buat tunang kesayangannya.

BACA: Genap Setahun Perkenalan, Isa Khan Hadiahkan Audi Buat Risteena

“Saya menyimpan wang selama enam bulan selepas mengusahakan bisnes Lovit, sebelum boleh beli kereta itu.

“Ia sebenarnya satu bentuk penghargaan buat Risteena pada sambutan ulang tahun perkenalan kami yang pertama,” katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Isa, dia memilih kenderaan tersebut sebagai hadiah kerana sebelum ini Risteena pernah mengatakan dia meminati kereta berkenaan. Malah, Isa berkata dia juga turut meminat kereta tersebut.

“Sebelum ini, kami memang ada berborak mengenai kereta Audi. Sebenarnya kami sama-sama minat dengan kereta tersebut. Jadi, sebab itulah saya membelinya,” katanya.

Terdahulu, menerusi Instagram Isa menghadiahkan kereta jenis Audi kepada Risteena sempena ulang tahun perkenalan mereka yang pertama. Lebih bermakna, kereta tersebut didatangkan dengan nombor pendaftaran istimewa ‘US I54’.