Anggota kumpulan Inteam berkata mereka berjanji akan sentiasa menjaga silaturrahim dengan keluarga Allahyarham Suhaimi Saad terutama anak-anaknya.
Memetik Utusan Online, salah seorang anggotanya iaitu Hazamin Harun berkata sudah menjadi tanggungjawab mereka sebagai sahabat meksipun arwah sudah tidak bersama kumpulan itu sejak 2005.
BACA: “Arwah Seorang Bapa Yang Baik, Berjaya Mendidik Anak-Anaknya” – Rahim Inteam
Menurut Hazamin, mereka ada menziarah keluarga arwah Suhaimi dan mereka sangat kuat menghadapi ujian tersebut.
“Saya ada menziarahi keluarga arwah selepas dia meninggal dunia tempoh hari. Saya lihat anak-anaknya dan Ina Naim, sangat kuat. Ayah Ina pun maklumkan perkara yang sama, mereka sangat kuat dalam menempuhi fasa baharu ketiadaan Suhaimi di sisi.
“Mungkin mereka sudah dididik oleh arwah sebelum itu atau telah terbiasa dengan keadaan arwah yang diuji sakit sebelum ini. Sebagai sahabat, kami anggota Inteam akan mencuba membantu keperluan anak-anak arwah,” katanya.
Dalam pada itu, Hazamin berkata sebelum ini mereka ada membuat kutipan untuk membantu arwah kerana tidak dapat bekerja disebabkan sakit.
“Sudah menjadi tanggungjawab kami untuk turut sama membantu. Kawan-kawan pun ada yang kirim bantuan menerusi Munsyid Malaysia.
“Sebelum ini pun kami ada lakukan perkara yang sama, buat kutipan duit untuk disumbangkan kepada arwah. Ini kerana empat bulan sebelum itu pun arwah tak dapat bekerja kerana sakit,”katanya.
Berkongsikan memori terakhir bersama arwah, Hazamin berkata dia sempat menziarah rakannya itu ketika sakit dan hampir menitiskan air mata melihat keadaan Suhaimi ketika itu.
“Sebelum dia meninggal, saya sempat menziarahinya dan ketika itu dia masih boleh bercakap lagi. Waktu itu berat badannya tak sampai 50kg, hampir menitik air mata saya melihat keadaannya yang kurus kering begitu.
“Masih saya ingat, dia cakap jangan menangis nanti dia menangis juga. Lepas seminggu, saya pergi umrah dan dapat berita dia masuk Unit Rawatan Rapi ( ICU),” katanya.