fbpx

Ina Naim Buka Kedai Dobi, Tunai Hasrat Arwah Suami

Isteri kepada Allahyarham Suhaimi Saad iaitu Ina Naim berkongsikan dia kini menjalankan perniagaan dobi di kampungnya, Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor.

Menerusi sesi live di TikTok, Ina berkata ia adalah impian arwah suaminya untuk membuka kedai dobi serta meminta segelintir individu yang memerlinya untuk membeli mesin basuh untuk membasuh pakaian.

BACA: Ina Naim Mimpi Jumpa Suhaimi Saad, Wajah Arwah Bersih & Bercahaya

“Selain berniaga kopi, sabun dan koko, alhamdulillah Allah izinkan saya tidak perlu pergi ke dobi. Saya sendiri sudah membuka dobi. Jadi jangan tanya mesin basuh mana.

“Ini mesin basuh banyak. Selepas ini jangan tanya lagi. Jangan cakap suami saya tidak beli mesin basuh, tidak beli itu, tidak beli ini. Saya sekarang sudah buka dobi di kampung. Sejak 2009 lagi awah memang sudah bercita-cita untuk membuka kedai dobi di kampung ini,” katanya.

Sementara itu, Ina berkata dia menggunakan wang peninggalan arwah suaminya sebagai modal perniagaan serta meluahkan rasa syukur pernigaan dobinya itu tidak putus.

“Duit royalti arwah saya tidak guna sewenang-wenang untuk berseronok. Tetapi saya membuka dobi kerana duit itu akan sentiasa berkembang. Saya membuka dobi ini selepas arwah meninggal, alhamdulillah rezeki tidak putus terutamanya ketika musim hujan.

“Ada sahaja orang hantar baju termasuk pihak masjid yang menghantar sejadah dan telekung. Ada juga sekolah yang menghantar alas meja guru dan langsir untuk dibasuh,” katanya.

Terdahulu, Allahyarham Suhaimi meninggal dunia pada November tahun lalu di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru akibat jangkitan kuman di paru-paru.

SUMBER: mStar Online