Kontroversi antara penyanyi Siti Nordiana dan lima sekawan masih tiada kesudahan lagi. Malah, susulan tindakan lima sekawan itu telah menjejaskan kerjaya penyanyi itu.
Memetik Astro Awani, kontroversi tersebut menyebabkan beberapa kontrak iklan komersial membabitkan Siti Nordiana telah dibatalkan dan tidak disambung.
BACA: 14 Tahun Menjanda, Siti Nordiana Cari Lelaki Yang Memahami
Pengurus Nana iaitu Mohammad Al Anas Osman yang juga merupakan saksi kedua berkata surat pembatalan kontrak diberikan selepas Nana memfalkan saman terhadap lima sekawan itu.
“Kesan paling utama ialah nama baik plaintif terjejas kerana siaran langsung Instagram melalui rakaman YouTube mencecah ratusan ribu penonton sehingga ke hari ini.
“Kesan buruk jangka panjang pula, membabitkan kontrak komersial kerana pengusaha jenama itu meletakkan syarat bahawa personaliti tajaan mereka tidak boleh terpalit dengan kontroversi selain sentiasa berkelakuan baik,” katanya.
Menurut Al Anas lagi, dia turut menerima banyak panggilan telefon susulan siaran langsung memburukkan nama Siti Nordiana.
Terdahulu, Siti Nordiana memfailkan saman berjumlah RM2.5 juta pada 3 Ogos 2021 terhadap lima sekawan termasuk Lan Solo dan Syura Badron.