Pemergian ibu tersayang, Allahyarham Zuridah Ibrahim ternyata memberikan kesan mendalam buat penyanyi dan komposer muda, Zynakal. Menerusi perkongsian IG Live, Zynakal akui dia bukanlah seorang anak yang baik.

Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli dalam keadaan tidak dapat menahan sebak berkata dia tidak pernah menghargai ibunya sebelum ini malah akui tidak melawat arwah ibunya ketika berada di hospital.

BACA: Ibu Zynakal Meninggal Dunia

“Apabila dah selesai kebumikan arwah dan tengok batu nisan, saya terus terdetik ‘aku tanam mak aku sendiri’. Saya tak pernah jangka benda ini akan terjadi dalam hidup saya.

“Sejujurnya sebelum mak pergi, saya tak pernah hargai dia. To be honest, saya bukan seorang anak yang baik. Sampaikan kami pernah bergaduh, mak saya cakap kalau dia mati jangan datang kubur dia.

“Masa dia masih hidup, saya jarang hubungi dia, hubungan kami tak seperti ibu dan anak. Masa dia di hospital, saya tak melawat dia. Jujur saya bukan anak yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, Zynakal turut berpesan kepada peminatnya supaya sentiasa menghargai ibu bapa selagi masih ada agar tidak menyesal di kemudian hari kerana begitu peritnya apabila kehilangan mereka.

“Kita tak tahu bila ibu bapa kita akan pergi. Kehilangan orang tersayang ini bukan macam bercinta dan putus. Tapi kehilangan ini tak akan dapat jumpa lagi selepas ini,” katanya.

Allahyarham Zuraidah Ibrahim, 53 tahun yang juga merupakan kakak kepada penyanyi Zamani, menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan kuman dalam darah dan komplikasi buah pinggan di Hospital Pakar Al Islam, Kampung Baru,jam 1 petang semalam.