Kerinduan ibu kepada penyanyi Allahyarham Sandra Dianne iaitu Nur Syakinah akhirnya terubat apabila arwah anaknya itu muncul dalam mimpi selepas 44 hari pemergiannya.

Menerusi perkongsian di Facebook, Syakinah meluahkan rasa syukur dan mengatakan itu kali pertama dia didatangi mimpi tentang anaknya selepas lebih sebulan pemergian Allahyarham Sandra.

BACA: Ibu Sandra Dianne Berang Dituduh Sengaja Cabut Mesin Hayat Pada Hari Jumaat

“Tepat 44 hari, akhirnya kakak datang juga dalam mimpi mama.Terima kasih nak, mama takkan lupa ciuman yang mama berikan pada kakak dan pelukan tangan kakak memeluk erat badan mama.

“Ia seperti tanda daripada kamu yang memberitahu kamu baik-baik, dan sampai masanya mama pandang ke depan dan berhenti meratapi pemergianmu. Mama akan terus merindui kamu dan bersemadilah dengan tenang bidadariku. Al Fatihah,” tulisnya.

Menerusi coretan itu, Syakinah berkata dia enggan lagi menulis luahan di media sosial keran abimbang tindakannya itu akan menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak dan dituduh mahu meraih simpati.

“Mama tak mahu menulis panjang menumpahkan segala perasaan. Bimbang ada yang akan meluat dan menuduh mama tak habis-habis meraih simpati. Cukuplah mama katakan rindu mama pada kakak masih belum hilang.

“Kadang-kadang mama melihat telefon menunggu WhatsApp kakak masuk. Baca semula perbualan kita yang lama, dengar nota suara kakak pada mama, orang takkan mengerti apa perasaan yang mama lalui saat ini,” tulisnya.

Dalam pada itu, Syakinah berkata kerana rindu yang terlalu mendalam terhadap anaknya dia tidak mampu tidur lena sehingga berat badannya tudun mendadak.

“Susah untuk mama bangkit semula dari kesedihan ini kakak. Berat mama pun semakin hari makin turun daripada 52 kilogram (kg) mendadak turun ke 46kg. Setiap malam, selama 40 hari juga mama tidur bertemankan air mata,” tulisnya.

Allahyarham Sandra yang juga peserta program Big Stage 2020 disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya, pada 11 September lalu, selepas terbabit kemalangan pada 5 September.