fbpx

Ibu Elfira Loy Jelaskan Kenapa Perlu Kongkong Anak

Bergelar anak seni ketika di usia muda, ibunya yang menguruskan segala hal berkenaan kerjaya Elfira Loy. Menerusi satu temu bual baru-baru ini, ibu Elfira, Filzah Yusoff jelaskan mengapa dia perlu mengongkong anaknya.

Menurutnya, sebagai seorang ibu mereka perlu mengongkong kerana anak-anak akan mudah lupa diri jika tidak berbuat demikian. Tambahnya lagi, naluri seorang ibu sememangnya tidak dapat disangkal.

BACA: Peminat Spekulasi Elfira Loy Hamil Anak Kembar

“Orang nampak saya kongkong tapi kadang-kadang saya dapat tahu daripada kawan sendiri yang mengatakan saya beruntung sebab dapat anak yang mendengar kata.

“Kadangkala kita tak sedar yang kita letak expectation terlalu tinggi. Bila kita merajuk pun kita kena beritahu,” katanya.

Dalam pada itu, Elfira memberitahu meskipun ada keputusan ibunya yang kurang dipersetujui olehnya, namun dia percaya itu adalah untuk kebaikannya dan masa depan.

“Saya marah dalam keputusan yang ibu saya buat tetapi saya tak tunjuk dan saya akan makan hati sorang-sorang. Tapi lama kelamaan keputusan yang dibuat ibunya bersebab dan lambat laun saya sedar itu adalah terbaik untuk saya,” ujarnya.

Menerusi temu bual tersebut, Elfira tidak dapat menahan rasa sedih di atas pengorbanan ibunya selama membesarkannya dan adik-beradik yang lain, lebih-lebih lagi dia juga bakal bergelar ibu tidak lama lagi.

“Pengorbanan ibu sangat besar. Apa yang ibadah yang dilakukan oleh ibu bukan untuk diri sendiri tetapi untuk anak-anak. Saya tahu bila dia dah tiada nanti, kita pula nak buat benda tu.

“Saya terasa sangat sebab saya pun akan jadi ibu tak lama lagi. Saya sebenarnya takut nak jadi ibu yang baik, macam mana ibu saya berkorban masa demi anak-anak. Bayangkan kita nak solat untuk diri kita pun susah, macam mana ibu boleh buat solat dan doa untuk anak-anak,” ujarnya.