Hadir bersama kedua ibu bapa mentuanya dan jalan beriringan bersama di karpet merah Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-35 (ABPBH35), Puteri Sarah menyifatkan ianya satu pengalaman indah dalam hidupnya.
Memetik Harian Metro, Puteri Sarah berkata dia sangat terharu apabila ibu bapa mentuanya, Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail masih memberi sokongan dalam kariernya.
BACA: Puteri Sarah ‘Seludup’ Makanan Hotel, Netizen Dakwa Makin Mengarut Sejak Cerai
Menurut Sarah lagi, kedua ibu bapa mentua datang bersamanya ke majlis tersebut agar tidak timbul sebarang fitnah.
“Ibu bapa mentua menghubungi saya dan kata mereka nak datang bersama ke majlis itu (ABPBH35) sebab nak sokong saya.
“Alhamdulillah, saya pun tidak keseorangan dan dapatlah juga kami berjalan sama melalui karpet merah dan ia sangat seronok.
“Satu pengalaman yang amat bermakna. Malah, kehadiran mereka ke majlis itu datang bersama dengan saya untuk menemani saya supaya tidak timbul fitnah,” katanya.
Sebelum ini pelakon itu berdepan dengan pelbagai dakwaan netizen apabila dianggap tidak menghormati tempoh edah cerai selepas sah berpisah dengan bekas suaminya, Syamsul Yusof pada 14 Jun lalu.
Bagaimanapun, Puteri Sarah berkata dia mengetahui edah perceraian dimana seseorang wanita masih boleh keluar dan bekerja dengan izin dan pengetahuan bekas suami.
Malah, Puteri Sarah berkata dia juga turut memaklumkan kepada bekas suaminya dan Syamsul tahu dia keluar untuk bekerja serta menjalani penggambaran.