fbpx

Ibu Alyssa Kecewa Dituduh Menumpang Kesenangan Anak

Baru-baru ini hangat mengenai penyanyi dan bintang Youtube, Aryanna Alyssa Dezek yang berjaya membeli kereta idamannya Toyota Vellfire pada usia 12 tahun. Tidak menyangka mampu memiliki kereta itu pada usia muda dan mahu menghargai diri selepas bekerja keras.

Bagaimanapun, ada pula isu tidak sedap didengar apabila ada segelintir netizen menuduh ibu bapa kanak-kanak itu tidaak pandai menguruskan duit anak mereka kerana membeli kereta bukanlah pelaburan yang wajar.

BACA: Baru 12 Tahun Mampu Beli Vellfire, Alyssa Tiada Niat Menunjuk

Tampil menjelaskan perkara itu, ibu Alyssa iaitu Suzanne Dezek berkata mereka menghormati anaknya itu yang mahukan sebuah kenderaan bagi memudahkan perjalanan kerjayanya dan keselesaan apabila berjalan jauh.

“Pada saya duit tu duit dia, jadi dia yang nak beli Vellfire untuk memudahkan dia pergi penggambaran dan travel jauh untuk keselesaan dia.

“Bab rumah tu kita dah sediakan untuk Alyssa dan adik. Suami saya dah belikan. Simpanan pun memang ada untuk dia sambung belajar,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Suzanne turut meluahkan rasa kecewa apabila ada netizen menganggap dia dan suaminya mahu menumpang kesenangan anaknya itu. Jelasnya, mereka tidak perlu bergantung pada pendapatan anaknya itu kerana suaminya bekerja sebagai ketua jurutera kapal.

“Sebab rata-rata netizen cakap saya dan suami yang nak pakai kereta tu. Padahal tu kehendak dia sendiri, mungkin mereka tak tahu ayah Alyssa bekerja sebagai ketua jurutera kapal. Ayah dia pun mampu,” luahnya.

Bagaimanapun, Suzanne berkata dia tidak mengendahkan segala kecaman dan tidak menyalahkan netizen yang tidak mengetahui tentang latar belakang keluarga mereka.

“Tak apa la itu hak mereka nak komen apa pun, mungkin mereka tak tahu siapa ayah Alyssa. Yang kenal rapat dengan keluarga kami saja yang tahu. Saya fikir positif sahaja,” katanya.