Umum mengetahui, usahawan kosmetik, Safiey Ilias ditahan polis petang Khamis lalu atas dakwaan membuat komunikasi lucah dan amang seksual dengan kanak-kanak di bawah umur.

Mengulas mengenai perkara itu, Pencetus Ummah (PU) Amin yang juga salah seorang rakan di Instagram Safiey berkata dia menyedari mengenai isu tersebut selepas ramai menghantar mesej kepadanya.

BACA: Pakai Baju Lokap, Safiey Ilias Sempat Catwalk Di Mahkamah

“Setiap hari memang saya nampak dia buat live kerana kami follow sesama sendiri di Instagram, tetapi tak sempat melihat video tersebut secara keseluruhan.

“Cuma setiap hari memang ada orang yang akan share di DM, macam beberapa hari yang lalu dia tunjuk dadanya dan orang berlumba-lumba untuk masuk ke sesi Instagram live tersebut untuk melihat apa yang dia nak sajikan,” ujarnya kepada mStar.

Menjawab persoalan mengenai hukum jika seorang lelaki melihat alat sulit yang ditayangkan oleh lelaki yang menyerupai perempuan, PU Amin mengatakan ianya haram.

“Para mufti pun dah mengeluarkan fatwa, kita boleh semak berkenaan dengan lelaki yang berperwatakan seperti wanita, menonjolkan alat sulit yang telah ditukarkan kepada perempuan dan menghairahkan adalah haram.

“Apa sahaja perkara-perkara lucah tak boleh diterima oleh agama Islam, malah negara kita sendiri yang berbilang bangsa pun tidak menerima segala unsur lucah tidak mengira peringkat umur,” katanya.

Terdahulu, Safiey dan seorang lagi rakannya didakwa berkelakuan lucah di hadapan dua remaja dipercayai berusia 14 dan 15 tahun termasuk menggoyangkan dadanya dalam satu sesi Instagram live.