fbpx

HONOR View20 Rintis Rekabentuk Baru Telefon Pintar

Jika tahun 2018 didominasi oleh rekaan takuk (notch) pada skrin hadapan kebanyakkan telefon pintar di pasaran, permulaan tahun 2019 memberikan tanda yang satu rekaan baru dan kreatif akan mengambil alih.

Skrin berlubang (hole-punch) dijangka akan mendominasi rekaan telefon pintar untuk tahun 2019 dan HONOR View20 menjadi antara yang pertama dilihat menggunakan rekaan tersebut.

Lubang yang hadir pada skrin hadapan HONOR View20 hanya menempatkan kamera hadapan untuk selfie dan teknologi pengecaman wajah untuk unlock. Rekaan sebegini nampak lebih segar dan minimalis berbanding rekaan takuk pada telefon pintar lain.

HONOR View20 akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran seluruh dunia pada 22 Januari ini namun ianya sudah mula dijual di China secara rasmi.

Paparan skrin pada HONOR View20 adalah LCD dengan saiz 6.4 inci dengan resolusi 2310×1080. Skrin ini pada pandangan kami mempunyai sudut pandangan yang baik walaupun ketika berada di luar dengan cahaya siang.

Warna yang dijanakan oleh skrin LCD pada HONOR View20 ini juga cukup terang tetapi tidak keterlaluan dan ketajaman resolusi yang bersesuaian dengan kegunaan harian pengguna hari ini.

Kamera utama atau belakang HONOR View20 dilengkapi keupayaan 48-megapiksel yang menggunakan sensor IMX586 keluaran Sony. Kami akan berikan pandangan penuh tentang keupayaan kamera ini selepas ianya dilancarkan secara rasmi kelak.

Rekaan bahagian belakang HONOR View20 ini juga menarik pada pandangan kami apabila ianya hadir dengan rekaan berbentuk V apabila dilihat dari sudut tertentu. Tidak bosan dan rata sahaja seperti yang lain.

Bahagian dalaman HONOR View20 ini dijana oleh pemproses terkini 7nm Kirin 980, RAM sehingga 8GB dengan kapasiti storan sehingga 256GB. Ditambah dengan bateri berkapasiti 4,000mAH, telefon pintar ini cukup kuat untuk menarik pengguna dari pelbagai latar belakang.

Untuk pengetahuan anda, HONOR View20 ini meraih lebih 10 anugerah dari pelbagai pihak ketika ditayangkan kepada umum di CES 2019, Las Vegas baru baru ini termasuklah telefon pintar terbaik. Ini menandakan peranti terkini HONOR ini berada pada landasan betul untuk memikat peminat tersendiri kelak.