Hilang sebelah kaki akibat kemalangan tidak pernah mematahkan semangat Nik Haziera Saffiya Nik Husmadi, 19.

Sebaliknya, ujian itu menjadi titik tolak buat gadis berkenaan mengejar cita-cita mengharumkan nama Malaysia sebagai atlet para lawan pedang.

Di sebalik kesakitan yang terpaksa ditempuhi, Nik Haziera memilih untuk bangkit dan meneruskan kehidupan dengan penuh tabah.

Beliau membantu keluarganya mencari rezeki dengan berniaga, selain tekun menjalani latihan demi merealisasikan hasrat menyarung jersi kebangsaan dan mengibarkan Jalur Gemilang di pentas dunia.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, semangat luar biasa yang dipamerkan Nik Haziera membuktikan kehilangan bukan pengakhiran kepada sebuah kehidupan.

“Ramai yang memandang kehilangan sebagai noktah. Tetapi tidak buat adik Nik Haziera Saffiya.” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dr Mohammed Taufiq Johari bersama Nik Haziera Saffiya Nik Husmadi

Pada Februari 2024, Nik Haziera dan kakaknya, Nik Haznita Saffiya, 21, hilang kaki kanan selepas dilanggar sebuah lori sewaktu menaiki sebuah motosikal di Bera.

Menurut Mohammed Taufiq, beliau berkesempatan menziarahi keluarga Nik Haziera di Temerloh baru-baru ini bagi menyampaikan surat lantikan sebagai atlet Program Latihan Pelapis Kebangsaan Para Lawan Pedang.

Katanya, kunjungan tersebut bukan sekadar memenuhi amanah rasmi, sebaliknya membuka ruang untuk beliau menyaksikan sendiri ketabahan seorang anak muda yang enggan menyerah kepada takdir.

“Saya pulang membawa sebuah kisah tentang harapan. Tentang seorang anak yang enggan menyerah kepada takdir.

“Tentang sebuah keluarga yang tidak pernah berhenti percaya. Dan tentang seorang anak Malaysia yang memilih untuk terus berjuang, bukan demi dirinya semata-mata, tetapi demi negara yang dicintainya,” katanya.

Kata Mohammed Taufiq, semangat Nik Haziera turut terserlah menerusi janjinya kepada ibu tercinta yang menjadi sumber kekuatan untuk terus melangkah.

“Saya nak menang dua pingat emas. Saya nak harumkan nama Malaysia,” katanya yang mengulangi ikrar gadis cekal itu.

Bagi Mohamed Taufiq, setiap ujian yang dihadapi manusia bukan semestinya satu hukuman, sebaliknya boleh menjadi ruang untuk membentuk jiwa yang lebih kental serta membuka jalan kepada sesuatu yang lebih baik pada waktu yang paling tepat.

Beliau turut mendoakan agar Nik Haziera terus dikurniakan kekuatan, kesihatan dan ketabahan untuk merealisasikan cita-citanya mengharumkan nama Malaysia dalam sukan para lawan pedang.

Kisah Nik Haziera membuktikan kehilangan sebelah kaki mungkin meragut sebahagian daripada kehidupannya, namun ia tidak pernah meragut semangatnya untuk terus mengejar dua pingat emas dan mengharumkan nama Malaysia.

KREDIT GAMBAR: FB TAUFIQ JOHARI

×