fbpx

Henti Kerjasama Dengan Rakan Kongsi, 4 Cawangan Bubblebee Ditutup Sementara

Susulan siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), syarikat pengeluaran air minuman Bubblebee Sdn Bhd menamatkan usahasama di empat cawangan yang terkait dengan siasatan berhubung pengubahan wang haram.

Ketua Pegawai Eksekutif Bubblebee, Datuk Ismail Abdul Rahman berkata, meskipun kes masih dalam siasatan namun ia memberikan kesan negatif secara tidak langsung menjejaskan reputasi perniagaan tersebut.

BACA: Lepas Dakwa Kereta Disita, Netizen Dakwa Harga Jam Tangan Shuib Cecah RM4 Juta

Katanya lagi, perkara itu turut menyebabkan salah seorang ahli lembaga pengarah Bubblebee iaitu Shuib Sepahtu dipanggil bagi membantu siasatan.

“Walaupun kami sendiri tidak pasti tentang kebersalahan rakan usahasama cawangan kami ini kerana kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, tetapi yang jelas siasatan ke atas rakan usahasama ini mendatangkan kesan negatif yang mampu menjejaskan reputasi perniagaan kami dengan teruk sekali.

“Sehubungan dengan itu, kami mengambil keputusan untuk menamatkan usahasama dengan kesemua rakan usahasama yang menguruskan empat cawangan berkenaan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Difahamkan, empat cawangan yang terletak di Ampang, Senawang, Sentul dan Sungai Buloh akan ditutup untuk sementara waktu bagi melancarkan urusan pengambilalihan operasi oleh ibu pejabat Bubblebee.

Syarikat Bubblebee ditubuhkan pada hujung tahun 2019 dengan menghimpunkan beberapa usahawan yang pakar dalam bidang masing-masing terutamanya dalam industri minuman, penghasilan madu lebah, dan pemasaran.

Pasngan selebriti tanahair, Shuib dan Siti Sarah berperanan dalam bidang pemasaran menjadikan Bubblebee kini bukan sahaja minuman malah jenama perniagaan yang kini dikenali ramai.

Sehingga kini, Bubblebee mempunyai 17 cawangan iaitu 11 cawangan merupakan milik penuh manakala enam cawangan lagi dibuka secara usahasama.