fbpx

Haqiem Rusli Tak Izin Isteri Jadi Penyanyi

Selepas mendirikan rumah tangga, penyanyi Haqiem Rusli dan isterinya Anis Sofea sering menjadi perhatian ramai apatah lagi pasangan itu membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga di usia muda.

Haqiem mendedahkan syarikat rakaman, FMC Music mahu mengambil isterinya untuk dijadikan penyanyi. Bagaimanapun, Haqiem tidak bersetuju dan biarlah hanya dia seorang sahaja berkecimpung dalam dunia muzik.

BACA: Belum Sedia Timang Anak, Haqiem Rusli Masih Buat ‘Research’ Jadi Suami Baik

“Sofea boleh menyanyi, suaranya sedap seperti penyanyi Indonesia yang mempunyai ‘tone’ suara yang baik. Namun, biarlah saya seorang sahaja bergelar anak seni, lagipun, saya mahu isteri fokus pada perniagaan kami, SanThai Village sebab mahu buka francais kedua dan seterusnya.

“Lagipun, Sofea tidak biasa dengan dunia hiburan, jadi biarlah dia fokus dengan perniagaan. Kalau nak cakap soal cemburu, sebagai suaminya tentulah saya cemburu, sebab itulah lumrah. Tetapi, cemburu saya tidaklah keterlaluan,” katanya.

Dalam pada itu, Haqiem berkata dia tidak mempunyai masalah dan mengakui gembira apabila isterinya itu mendapat perhatian ramai.

“Buat masa ini, saya gembira apabila Sofea mendapat perhatian. Bukan mahu berbangga pengikutnya dalam laman sosial naik, namun, saya gembira apabila sesuatu perkara boleh membuatkan isteri gembira.

“Seperti anda juga gembira apabila jumlah pengikut naik. Namun, saya tidak menafikan Sofea malu dan gementar berhadapan dengan wartawan, tetapi saya banyak memberikan nasihat. Kini, Sofea sedang belajar menerima perhatian dari orang ramai,” katanya.

Terdahulu, Haqiem Rusli, 23, selamat mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan hati Wan Anis Sofea Wan Zamzuri, 19 di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya.