fbpx

Hamil Tujuh Bulan, Balkisyh Rindu Bau Suami

Terpaksa berjauhan dengan suami yang bekerja di Johor Baharu sejak berkahwin pada Disember tahun lalu, pelakon Balkisyh Semundur Khan rindu pada suami apatah lagi dirinya kini hamil tujuh bulan.

Menurut Balkisyh, semenjak disahkan hamil dia rindukan bau suaminya. Katanya, setiap bulan suaminya akan pulang namun apabila berjauhan hanya boleh berhubung melalui panggilan video.

BACA: Balkisyh Cadang Pakai Lampin Kain Lebih Jimat

“Selepas bernikah kami jalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri jarak jauh. Dia bertugas di Johor Bahru,manakala saya pula di sini. Suami yang paling gembira. Begitu juga dengan ahli keluarganya sebab bakal sambut cucu pertama.

“Sejak hamil, kalau boleh mahu dia sentiasa ada dengan saya. Rindu bau dia dan sekarang makin suka tatap wajahnya. Setiap bulan suami akan pulang tengok dan selebihnya kerap lakukan panggilan video. Kerjayanya sebagai petugas barisan hadapan memerlukan dia untuk beri komitmen yang penuh.

“Syukur, dia berjaya imbangkan soal kerja dan keluarga. Suami menjalankan tanggungjawab sebagai keluarga dengan baik,” katanya.

Berkongsikan mengenai kehamilannya, Balkisyh berkata dia mengalami alahan teruk pada trimester pertama, namun kini keadaannya semakin baik. Dalam pada itu, Balqisyh turut meluahkan rasa syukur keluarga suami melayannya dengan baik.

“Saya memang mempunyai asma, jadi apabila tiba-tiba rasa kurang sihat, saya ke klinik untuk buat pemeriksaan. Jadi selepas doktor beritahu status kesihatan, dia ucap tahniah dan maklumkan kandungan sudah cecah sebulan.

“Macam-macam perasaan yang timbul sejurus dapat tahu. Alhamdulillah, doakan moga semua dipermudahkan. Apa pun saya bersyukur kerana ahli keluarga suami turut menerima saya seadanya walaupun saya sudah mempunyai anak hasil perkahwinan terdahulu.

“Malah, mentua pun layan kami dengan baik. Itulah namanya rezeki Allah nak bagi, alhamdulillah,” katanya.

Balkisyh dan Mohd Nazri Zakaria berkahwin pada 26 Disember tahun lalu di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Balkisyh sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga pada 2007 namun bercerai pada September 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Nur Qalesya dan Muhamad Nor Qaisyh Khan.