fbpx

Hamil Tiga Bulan, Elfira Loy Gagahkan Diri Berpuasa

Baru sahaja mengumumkan berita kehamilan baru-baru ini, Elfira Loy berkongsi pengalamannya yang ternyata bukan mudah untuk berpuasa ketika hamil. Bagaimanapun Elfira tidak mahu terlalu manjakan diri dan cuba untuk berpuasa.

BACA: Elfira Loy Sahkan Hamil Anak Pertama

Pun begitu usahanya untuk berpuasa pada hari pertama diuji apabila badannya berasa kurang selesa selain cepat loya dan kembung perut. Manakala pada hari kedua pula, Elfira tewas juga kerana tidak berdaya.

“Memang mencabar berpuasa ketika berbadan dua. Pada hari pertama, pelbagai perasaan datang, namun saya cuba tidak terlalu mengikut kata hati. Saya lelapkan mata dan apabila bangun, saya ke dapur menyediakan juadah berbuka”

“Alhamdulillah, saya dapat berpuasa penuh. Cuma pada hari kedua, saya tewas. Ada ketika, saya dalam dilema sama ada mahu berpuasa atau tidak, tetapi selagi tidak membebankan diri dan membahayakan kandungan, saya akan cuba”

“Cuma, apabila berdepan alahan, itu yang membuat saya tidak berdaya. Dugaan setiap wanita hamil tidak sama, tetapi saya lawan juga perasaan itu. Dorongan suami memberikan saya kekuatan untuk menunaikan tarawih,” katanya.

Bagaimanapun Elfira sudah dimaklumkan oleh doktor bahawa beliau selamat untuk menunaikan ibadah berpuasa. Semoga Elfira baik-baik saja menjalani ibadah puasa tetapi kesihatan bayi perlu diutamakan. (rtky/w)