fbpx

Hamil Empat Bulan, Suami Bimbang Faye Kusairi Terlalu Aktif

Kini hamil anak kedua dan usia kandungan sudah mencecah empat bulan, pelakon Faye Kusairi dilihat tetap aktif dalam bidang seni, permotoran dan peniagan yang diusahakannya.

Faye juga mengakui suaminya iaitu pengarah Azmi Hatta bimbang dengan aktiviti yang dilakukan setiap hari. Bagaimanapun, Faye berkata suaminya memahami sikapnya seorang yang jenis tak senang duduk.

BACA: Hamil Anak Kedua, Faye Kusairi Alami Alahan Teruk

“Suami mana yang tak bimbang tapi sebab dia dah masak dengan perangai saya yang tak senang duduk ni. Jadi dia sentiasa pesan dekat saya supaya selalu berjaga-jaga dan elak terlalu aktif.

“Selepas bersalin, Insya-Allah saya tetap akan aktif dalam karier seni jika masih ada tawaran yang diberikan. Begitu juga dengan penglibatan suka permotoran dan perniagaan.

“Saya akan cuba yang terbaik untuk bekerja dalam masa yang sama menguruskan keluarga yang sememangnya menjadi keutamaan saya,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Faye berkata dia alami alahan teruk pada trimester pertama sehingga menyebabkan berat badannya turun sebanyak 4 kilogram. Bagaimanapun, keadaannya kini semakin baik.

“Alhamdulillah semakin baik. Doktor memang ada beritahu setiap pengalaman ada hamil ada perbezaan. Jadi untuk saya sendiri memang ada perbezaan yang ketara.

“Dengan Alif dulu ada juga alahan tapi tak seteruk sekarang. Saya hilang 4 kilogram semasa trimester pertama,” katanya.

Faye mendirikan rumah tangga dengan Azmi pada 9 April 2017 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Alif Azmi yang kini berusia dua tahun.