fbpx

Hamil Anak Ketiga, Diana Rafar Tak Boleh Mekap & Bersiap

Bakal menimang cahaya mata ketiga dan usia kandungan kini mencecah lima bulan,  pelakon Diana Rafar berkata kesihatannya tidak menentu serta mengalami alahan teruk sepanjang kehamilan.

Malah, Diana berkata dia tidak boleh bersiap apatah lagi memakai mekap kerana akan ‘mabuk’ sehingga rasa tidak cukup nafas. Ujarnya, dia hanya mampu berdoa agar dipermudahkan proses kehamilan dan bersyukur kerana suami seorang yang memahami.

BACA: Zamarul Hisham, Diana Rafar Bakal Timang Anak Ketiga

“Alhamdulillah, rezeki yang Allah bagi ini memang tak pernah terduga. Saya ingat cukup setakat dua saja, tapi tiba-tiba awal tahun ‘sangkut’ pula.

“Tidak dinafikan kesihatan saya agak terganggu dari awal kehamilan sampai sekarang. Banyak alahan yang dialami dan saya mampu berdoa saja. Nasib suami memahami.

“Malah, saya juga tak boleh pakai mekap dan bersiap. Memang akan ‘mabuk’ dan pusing mata sampai rasa nafas tak cukup. Banyak kali cuba, tapi masih sama. Sekarang ini sudah okay sikit. Kadang mekap separuh jalan saya terus cuci dan baring,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Diana juga turut meluahkan rasa syukur apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerana suaminya sentiasa bersama untuk menjaganya selama beberapa bulan.

“Terima kasih PKP. Saya bersyukur dalam keadaan begini Allah bagi masa yang cukup untuk suami ada bersama dan boleh jaga saya selama beberapa bulan ini.

“Apa pun saya mohon pada semua agar sentiasa mendoakan saya dan bayi dalam kandungan sihat dan selamat. Terima kasih pada semua yang tak henti memberikan ucapan tahniah dan selamat hari jadi kelmarin,” katanya.

Dijangka bersalin pada September depan, Diana berkata dia tidak kisah mengenai jantina bayi yang akan dilahirkan itu kerana mereka sudah dikurniakan sepasang cahaya mata.

Diana dan Zamarul yang berkahwin pada 16 Mei 2009 dikurniakan dua cahaya mata, Kashfi Haiqal, 10, dan Kayla Reysha, dua tahun.