fbpx

Hamil Anak Kedua, Scha Alyahya Tak Suka Bunyi Bising

Bakal menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi, Awal Ashaari berkata dia dan Scha Alyahya mengetahui tentang kahamilan itu pada Mac lalu namun memilih untuk tidak mendedahkan terlebih dahulu.

Ujarnya, dia dan Scha berusaha untuk mendapatkan anak kedua sejak anak sulungnya, Lara Alana berusia tiga tahun lagi namun baru kini Allah memberikan rezeki zuriat kepada mereka.

BACA: Hamil Anak Kedua, Scha Alyahya Benci Pegang Telefon

“Kami mendapat tahu mengenai kehadiran bakal cahaya mata kedua ini sejak Mac lalu. Namun, kami memilih untuk merahsiakannya terlebih dahulu memandangkan ia masih dalam peringkat awal.

“Kalau nak diikutkan, usaha kami untuk mendapatkan anak kedua sudah bermula sejak Lara berusia tiga tahun lagi. Namun, pada waktu itu belum ada rezeki dan nampaknya, Allah memberi rezeki anak kepada kami dalam tahun ini,” katanya.

Berkongsi mengenai ‘ragam’ aneh isterinya, Awal berkata, Scha kini cepat rimas dengan bunyi-bunyian sehingakan ketika menonton TV akan dimatikan suara.

“Ketika Scha mengandungkan Lara, dia memang tak suka memegang telefon dan tidak aktif di media sosial. Jadi, perkara sama berulang dan itu tidak terlalu mengejutkan saya.

“Yang menjadi kejutan buat saya adalah dia benar-benar tidak sukakan bunyi bising sehingga menonton TV pun dia akan matikan suara.

“Kalau drama atau filem yang disediakan sarikata, tak jadi masalah. Tapi apabila yang tidak ada sarikata, saya sendiri pun hairan melihat kerenahnya,” katanya.

Malah, Awal berkata dia terpaksa meletakkan telefonnya di dalam mood senyap kerana tidak mahu isterinya itu terganggu. Ujarnya lagi, dia juga yang menjaga akaun Instagram Scha untuk memuat naik hal berkaitan kerja.

“Saya juga terpaksa letakkan telefon dalam ‘mood’ senyap kerana dia cepat terganggu. Kalau anda nak tahu, selama lebih tiga bulan ini sayalah yang menjaga akaun Instagram Scha dan sering memuat naik benda-benda berkaitan kerja memandangkan ada komitmen kerja yang harus dikongsikan,” katanya.