fbpx

Hakim Saran Siti Nordiana, Lima Sekawan Bincang Cara Baik

Kes perbicaraan saman fitnah penyanyi Siti Nordiana ke atas lima sekawan yang sepatutnya berlangsung pagi ini ditangguhkan pada 20 Oktober depan.

Memetik laporan mStar, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zulqarnain Hassan menetapkan tarikh baru itu selepaas mengambil kira kelewatan pasukan pendakwaan menyerahkan penyata saksi.

BACA: Siti Nordiana Heret 5 Individu Ke Mahkamah Oktober Ini, Zoey Rahman Antara Saksi

Mahkamah yang bersidang secara atas talian itu diberitahu peguam mewakili Siti Nordiana baru sahaja menyerahkan penyata saksi pada Khamis.

Dalam pada itu, hakim turut menyarankan plaintif dan defendan menggunakan tempoh tersebut untuk mencari jalan penyelesain berhubung kemelut mereka. Difahamkan, prosiding selama satu jam itu tidak dihadiri Siti Nordiana selaku plaintif.

Sementara itu, peguam mewakili Sam Samin dan Razidah Ahmad atau Aida G iaitu Nurul Hafidzah Hassan mengalu-alukan jika kedua pihak bersetuju untuk menyelesaikan isu itu di luar mahkamah.

“Kita memang sarankan kepada anak guam untuk selesaikan hal ini secara baik sebab mereka pernah berkawan. Sebelum perbicaraan akan datang, mereka boleh berbincang cari jalan terbaik. Malah plaintif memaklumkan boleh bertemu tapi kawasan berkecuali,” katanya.

Terdahulu, Siti Nordiana menuntut permohonan maaf menerusi media serta membayar RM500,000 setiap seorang.

Selain itu, Nana juga menuntut ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan menerusi penyataan tuntutan tersebut.