fbpx

Hairul Azreen Teringin Berlakon Filem Hollywood

Meskipun laris di layar perak selepas muncul menerusi beberapa filem aksi, bagaimanapun, jarang sekali kita melihat Hairul Azreen di kaca televisyen. Jika ada pun hanya sekadar membuat kemunculan istimewa.

Namun, Hairul berkata dia terbuka hati untuk menerima tawaran daripada syarikat A Aida Production menerusi telefilem Kain Kapan Berbisik. Ujarnya, dia sukakan jalan ceritanya yang menarik dan ia merupakan projek pertama selepas PKP.

BACA: Cara Jaga Anak Dikritik, Hairul Azreen Tiada Masa Baca Komen Netizen

“Diakui memang sudah lama tak berlakon telefilem. Apabila dapat tawaran ini ia kena pula dengan masa dan jadual saya. Tambahan pula pelakon, pengarah dan produksi semuanya menarik.

“Apabila saya dipanggil ke pejabat, saya bertanya juga cerita apa. Selepas baca skrip, saya terus suka. Sebab dalam telefilem ini elemen dan ‘plot twist’ yang diketangahkan sangat menarik,” katanya.

Berkongsikan mengenai pembabitannya dalam filem aksi, Hairul bersyukur usaha dan kerja keras ke arah itu semakin mendapat perhatian. Katanya, dia tidak kisah perlu bekerja lebih keras untuk menjayakan watak demi mendapatkan hasil terbaik.

“Buat filem aksi menuntut komitmen besar. Saya kalau nak buat biar ia berbaloi. Jadi saya cuba, sebab saya minat. Saya banyak rujuk pada Hollywood yang mana mereka diberi masa enam bulan persiapan sebelum filem.

“Mungkin untuk filem kita tak dapat peluang itu. Jadi, saya buat inisiatif sendiri dengan pergi berlatih dan buat badan,” katanya.

Sinonim dengan filem aksi, Hairul menafikan dia hanya mahu berlakon filem bergenre itu sahaja kerana sebelum ini dia pernah berlakon filem cinta dan komedi. Hairul berkata lagi, dia menyimpan impian untuk berlakon filem Hollywood.

“Dulu saya pernah berlakon filem cinta, remaja, komedi dan lain-lain. Jadi, saya sudah buat hampir semua genre. Mungkin ada orang kenal saya ketika berlakon dalam Paskal. Selepas Paskal saya buat Polis Evo 2 dan Wira.

“Jadi, orang nampak saya buat aksi saja. Mungkin mereka tak kenal saya sebelum itu. Tapi, tak apa sebab saya tahu diri sendiri yang mana ada fokus, sasaran dan impian. Impian saya nak ke Hollywood.

“Alhamdulillah, Wira menaikkan nama filem kita dan saya sendiri. Malah, beberapa pelakon, pelakon lagak ngeri dan ‘stand in’ Hollywwod sudah ‘follow’ saya di IG. Saya rasa macam satu pencapaian untuk saya,” katanya.