fbpx

Hafiz Suip Mengaku Kesilapan Warnakan Rambut

Tindakan Hafiz Suip mewarnakan rambutnya sebelum ini mendapat kritikan hebat namun penyanyi popular ini tidak cepat melatah dan mengakui kesilapannya mewarnakan rambut sehingga menerima tomahan ramai pihak.

BACA: Hafiz Suip: Tunang Memahami Kerjaya Saya

“Saya menerima banyak tomahan tapi saya tidak ambil peduli sangat apa yang kata orang kerana apa yang terletak pada hati masing-masing. Apa yang penting nawaitu kita. Saya tidak melenting bila dikritik. Saya hanya berdiam saja”

“Saya tahu lambat laun orang akan berhenti bercakap dan perkara ini akan reda sendiri. Apa yang saya buat ini, dosa dan pahala saya tanggung sendiri. Janji saya tidak tinggal solat dan soal itu biar antara saya dengan Tuhan,” komennya terhadap isu tersebut.

Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu runut bunyi filem Pilot Cafe berjudul Untuk Cinta, di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, berkongsi mengenai gandingannya sekali lagi bersama Adira menerusi lagu Untuk Cinta, Hafiz menyatakan mereka dapat bekerjasama dengan baik.

“Ini kali kedua kami bergandingan selepas lagu Ombak Rindu empat tahun lalu. Kami profesional. Lagipun perkara itu sudah lepas, dan masing-masing sudah tiada perasaan lagi. Tapi saya dengan Adira sehingga kini tetap sebagai kawan. Lagipun kami dibawah pengurusan yang sama”, katanya.

Selain itu, Hafiz juga memberitahu dia mungkin akan melangsungkan perkahwinan bersama bakal isterinya, Effy, sekitar awal tahun depan.

“Setakat ini tidak ada tarikh sebenar tetapi tunang saya akan tamat belajar sekitar Ogos atau September tahun ini. Insha Allah, kami akan bernikah dalam awal tahun depan atau bulan Mei sempena ulang tahun kelahiran tunang saya”

“Kalau ikutkan saya mahu beri peluang tunang saya timba pengalaman bekerja dulu sekurang-kurang 6 bulan. Namun, jika keluarga mahukan kami segera bernikah, kami hormati keputusan mereka”, katanya. (rtky/s)