fbpx

Hafiz Suip: Tunang Memahami Kerjaya Saya

Penyanyi lagu tema atau OST untuk filem ‘Pilot Cafe’ Hafiz menjelaskan bahawa tunangnya memahami dan tidak cemburu apabila Hafiz dikatakan bergandingan semula bersama rakan duetnya iaitu Adira setelah 2 tahun tidak bertemu dan kali terakhir berduet menerusi lagu berhantunya ‘Ombak Rindu’.

BACA: Adira, Hafiz Suip Kembali Berganding Untuk Pilot Cafe

“Alhamdulillah tunang saya jenis memahami, tadi pun saya memang rasa bertuah kerana dia kata dia tak perlu untuk mengikuti saya ke penggambaran klip video ini kerana dia rasa macam mengganggu tugas saya. Tapi bukan dia yang nak ikut, saya yang ajak dia pada mulanya”

“Dia memahami dan untuk itu senang sedikit untuk saya bekerja sebab dia sememangnya memahami kerja saya. Dia pula bukan jenis nak marah ke atau terasa, itu yang saya rasa bersyukur,” katanya yang ditemui di lokasi penggambaran klip video OST ‘Untuk Cinta’ di Muzium TUDM kelmarin.

Hafiz juga sebelum ini pernah mempunyai sejarah bersama Adira dan baginya perkara itu sudah lepas dan mereka kini lebih bersikap profesional kerana masing-masing sudah mempunyai komitmen yang tersendiri. Menjadikan selebriti terkenal Erra Fazira Dan Awie sebagai contoh untuk terus kekal dalam industri hiburan negara.

“Saya dan Adira tidak ada masalah kita sama-sama profesional. Cerita lama ini tidak payah difikir-fikirkanlah, kalau kita fikir cerita lama maksudnya kita masih ada lagi perasaan, lagi pun benda itu dah lepas, biarlah lepas”

“Saya senang kerja dengan Adira dan seperti dulu juga tidak ada masalah cuma lama kita tak jumpa. Kita masih lagi berkawan sebagai sahabat dan ditambah lagi kita bekerja di bawah satu bumbung. Jadi apa-apa majlis pun kita akan berjumpa dan tidak akan ada timbulnya kami bergaduh,” tambahnya.

Sementara itu, ada gosip yang mengatakan bahawa Hafiz dan Akim Ahmad bermasam muka adalah tidak benar sekali kerana Hafiz menafikan kenyataan itu dan menjelaskan perkara tersebut timbul apabila Akim gagal untuk menghadiri majlis pertunangan Hafiz di Kuching, Sarawak baru-baru ini disebabkan terlepas penerbangan pada hari itu.

“Pada awalnya memang Aril, Hazama dan Akim berjanji untuk datang tetapi Akim ada rakaman pada malam sebelum itu dan habis pula lewat sehingga dia tertinggal kapal terbang keesokan hari. Pagi itu, dia menghubungi saya untuk menjelaskan bahawa dia tidak dapat bangun awal untuk penerbangan pagi itu. Dia ada minta maaf kerana tak dapat hadir,” katanya.

Walaubagaimanapun, Hafiz memahami dan tidak berkecil hati atas apa yang berlaku kerana mengetahui Akim ketika itu mempunyai komitmen yang lebih besar iaitu kerja-kerja rakaman di studio.

“Saya terkejut juga apabila ramai peminat yang sangka kami bergaduh. Bila masa pula kami bergaduh, hubungan kami baik-baik sahaja. Saya tidak kisah tentang perkara itu kerana dia ada kerja yang perlu diutamakan, lagi pun dia boleh datang masa perkahwinan nanti,” tambahnya. (rtky/hfz)