fbpx

Susulan penahanan penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman atas tuduhan mengedar dadah, penyanyi Hafiz Hamidun turut meluahkan rasa simpati dengan nasib menimpa sahabatnya.

Memetik mStar Online, Hafiz berkata dia mengetahui Yasin mempunyai masalah kesihatan dan sudah lama menderita penyakit bipolar.

BACA: “Yasin Perlukan Rawatan Kesihatan Mental Bukan Hukuman…”

“Saya simpati dengan nasib yang berlaku kepada Yasin sekarang ini. Kita tidak boleh faham dengan apa yang dia lalui selama ini. Bagaimanapun saya tidaklah menyokong tindakan yang dilakukan sehingga ditahan pihak berkuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Hafiz turut berkongsikan pengalaman dimana dia pernah melihat Yasin mengamuk ketika berada di studio rakamannya sekitar tahun 2018. Disebabkan insiden itu, setiap kali mereka bertemu Yasin akan berulang kali memohon maaf kepadanya.

“Dia datang ke studio dan terus marah-marah sehingga mengeluarkan kata-kata kesat.

“Namun selepas kejadian itu dia akan sentiasa meminta maaf apabila kami berjumpa. Saya tidak pernah menyimpan dendam kerana tahu tentang masalah kesihatannya,” katanya.

Sementara itu, Hafiz turut memohon kepada orang ramai agar tidak terlalu cepat menjatuhkan hukum apatah lagi kes itu masih lagi dalam perbicaraan.

“Biarlah mahkamah yang menentukan. Jika baik pengakhirannya saya bersyukur, namun kalau sebaliknya kita perlu ambil iktibar dari apa yang telah berlaku.

“Tidak adil untuk kita sendiri meletakkan hukuman kerana seperti yang saya kata, apa yang dilalui oleh Yasin hanya dia sahaja tahu.

“Ada juga rasa sedikit kesal apabila nama nasyid dikaitkan dengan perkara ini. Saya sentiasa mengingatkan rakan-rakan supaya muhasabah diri dan bertanya kembali adakah kita juga terlibat dengan perkara yang tidak betul,” katanya