fbpx

Hael Husaini Harap Nabila Razali Dapat Nyanyi Di AJL35

Menggantikan Nabila Razali mendendangkan lagu Peluang Kedua pada malam ketiga Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-35, Hael Husaini berharap Nabila dapat menyanyikan lagu tersebut di AJL35 nanti.

Meskipun lagu tersebut merupakan hasil karyanya, namun Hael berkata ia lebih sesuai dinyanyikan oleh Nabila. Hael turut meminta peminat mendoakan kesihatan Nabila agar dapat membuat persembahan terbaik di AJL35 nanti.

BACA: Nabila Razali Terkejut MV Peluang Kedua Raih 24 Juta Tontonan, 66 Ribu Komen

“Saya mohon jasa baik peminat mendoakan kesihatan Nabila supaya dapat melakukan persembahan yang baik pada malam AJL35 nanti.

“Ini kerana Nabila lebih sesuai menyanyikan lagu Peluang Kedua memandangkan lagu ini dilahirkan untuknya, meskipun ciptaan saya,” katanya kepada BH Online.

Akui gementar ketika membawakan lagu Peluang Kedua di pentas separuh akhir, Hael berkata dia menggantikan Nabila demi persahabatan. Sedar bahawa dia bukan calon terbaik, namun ia merupakan keputusan bersama Nabila.

“Saya gementar kerana lagu Peluang Kedua sangat besar dan bersifat ‘Nabila Razali’. Saya bersetuju ketika nama dicadangkan kerana niat mahu membantu Nabila atas dasar persahabatan dan kepercayaannya terhadap saya.

“Kami mengadakan sesi perbincangan beberapa kali sebelum keputusan dicapai. Ini adalah keputusan bersama disebabkan saya juga sudah terbiasa dengan lagu ini. Lagipun, masa sangat suntuk untuk membuat keputusan.

“Saya sedar bukan calon terbaik, namun saya sudah melakukan apa yang termampu. Alhamdulillah, lagu Peluang Kedua berjaya mara ke AJL35,” katanya.