fbpx

Genap Setahun Pemergian Abam, Hidayah Sedekah Makanan Untuk Pelanggan

Setahun pemergian suaminya, Allahyarham Abam Bocey yang meninggal dunia pada 10 Februari tahun lalu, Nurhidayah sedekahkan mi kari dan bihun sup kepada pelanggan yang datang ke kedai HidayahAbamHazah miliknya di Medan Selera Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) hari ini.

Menurut Hidayah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dia tidak dapat membuat majlis tahlil untuk arwah suaminya dan melakukan inisiatif lain dengan sedekahkan makanan.

BACA: Lapan Bulan Pemergian Abam, Hidayah Akui Kehidupan Sukar Tanpa Suami

“Esok, genap setahun arwah pergi meninggalkan kami. Memandangkan penularan Covid-19 dan masih PKP, saya tak boleh buat majlis tahlil untuknya. Jadi, saya ada tempah mi kari dan bihun sup untuk sedekahkan kepada semua pelanggan yang datang ke kedai saya esok.

“Saya sudah niatkan untuk Allahyarham suami, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan serta Allahyarham abang-ababg saya iaitu Rosli, Azmi dan Ismail Mohd Ali. Semoga roh mereka di tempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Dalam pada itu, Hidayah akui banyak cabaran dilaluinya selepas arwah suaminya tiada namun bersyukur kerana Allah mempermudahkan segala urusannya.

“Alhamdulillah, Allah ada. Walaupun terlalu banyak liku dan cabaran hidup saya sepanjang setahun selepas ketiadaan arwah, semuanya Allah permudahkan. Terima kasih kepada mak, abah dan keluarga.

“Selain itu, pada semua yang sentiasa menyokong saya, memberi kata-kata semangat, selalu mendoakan yang baik-baik untuk saya dan anak, termasuk buat arwah suami,” katanya.