Akhirnya drama bersiri 7 Hari Mencintaiku 3 melabuhkan tirainya pada Jumaat lalu. Ramai yang berpuas hati dengan pengakhiran drama tersebut apabila Nurul Ain menerima pembalasan akibat perbuatan jahatnya itu.
Namun, dek kerana ramai yang terkesan dengan watak jahat Nurul Ain itu, pelakon Wafariena mendedahkan dia menerima ugutan santau dari penonton taksub.
BACA: Hubungan 11 Tahun Berakhir, Bekas Kekasih Dakwa Syazuwan Hassan Curang Dengan Wafariena?
Memetik Kosmo!, Wafariena berkata dia menerima kata-kata makian termasuklah ugutan santau menerusi mesej di IG kerana ramai yang bencikan watak Nurul Ain.
“Tak tahulah nak cakap macam mana. Tapi, disebabkan Nurul Ain untuk musim ketiga ini, saya menerima bermacam-macam cacian, makian, ugutan itu ini termasuklah santau.
“Barangkali ada yang nasihatkan tak usah ambil serius dengan ugutan sebegitu (terutama santau), tapi saya perlu berjaga-jaga dan mengingatkan penonton apa yang saya paparkan menerusi watak Nurul Ain hanyalah lakonan semata-mata.
“Tolonglah jangan terbawa-bawa dalam kehidupan realiti tapi saya faham orang benci dan kecam bermakna lakonan saya dalam drama memberikan kesan. Untuk itu, saya bersyukur,” katanya.
Dalam pada itu, ditanyakan adakah dia selesa melakonkan watak antagonis seperti Nurul Ain selepas ini, Wafariena berkata dia terbuka menerima apa saja watak.
Sebagai seorang pelakon yang masih baharu, saya tak kisah melakonkan watak apapun. Kalau kena dengan gaya dan skrip, saya akan menjayakan sehabis baik demi kepuasan penonton.
“Kalau ada yang masih mahukan musim selanjutnya 7 Hari Mencintaiku, itu terpulang kepada penulis skrip, Siti Rosmizah Semail. Kalau mereka panggil saya untuk watak Nurul Ain, saya bersedia pada bila-bila masa, insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, Wafariena mendedahkan dia pernah diugut netizen sehingga ingin disimbah asid pada wajahnya kerana watak Nurul Ain yang tergila-gilakan Khuzairi.