fbpx

Fynn Jamal Pejuang Hak Anak Tidak Berdosa

Rasanya ini pertama kali kami menulis tentang personaliti popular Fynn Jamal dan tidak dinafikan beliau kini sangat mendapat tempat di hati ramai kerana perwatakan ibu penyayang yang ditunjukkan melalui akaun Instagram beliau saban hari.

Fynn Jamal atau nama sebenarnya Nur Affina Yanti Jamalludin mengakui yang beliau menulis lirik & mencipta melodi lagu Arjuna Beta khas ditujukan buat anak tunggalnya, Bakti Arjuna Fitri atau Juna yang kini menjangkau usia dua tahun.

Lagu tersebut nyata mendapat tempat di hati para peminat muzik tanah air sehingga ianya layak bertanding di peringkat separuh akhir Muzik Muzik ke 29 dan mempunyai peluang tersendiri untuk layak ke Anugerah Juara Lagu tidak lama lagi.

Fynn Jamal berkata populariti yang beliau kecapi kini akan diambil sebagai kesempatan untuk jadi aktivis masyarakat lebih lebih lagi memperjuangkan hak bagi anak-anak jalanan yang terbiar ataupun bayi tidak sah taraf.

“Saya meletakkan diri saya sebagai seorang ibu di tempat paling atas, kemudian sebagai pendidik dan selepas itu barulah peranan lain. Sebab itulah apabila saya dengar ada kes pembuangan bayi, hati saya cepat tersentuh dan sanggup ketepikan aktiviti seni sama ada sebagai pemuisi atau penyanyi untuk cuba selesaikan masalah yang dihadapi anak yang tidak berdosa itu”

Beliau juga berikrar mahu memberikan sepenuh perhatian terhadap anaknya, Juna seorang kanak kanak autistik atau austismeyang masih belum mampu berkomunikasi dengan baik.

“Bagaimanapun, Juna ada caranya yang tersendiri. Jika dia lapar atau mahukan susu, Juna akan tarik tangan saya atau ayahnya ke arah beg susu atau sebarang makanan yang dikehendakinya. Begitulah caranya berkomunikasi dan saya serta suami sedaya upaya cuba memahami setiap kali dia menyampaikan sesuatu”

“Menariknya keletah Juna itu kadang-kala menghiburkan saya dan suami. Seperti bermain tekateki kerana cuba meneka kehendak Juna yang lucu dan comel. Dia sangatlah istimewa buat kami dan sedikit pun tidak menyesal mengambilnya sebagai anak angkat,” tambahnya. (rtky/m)