fbpx

Fynn Jamal Cuci Tangan, Tak Mahu Ambil Tahu Masalah Orang

Sebelum ini hangat diperkatakan mengenai Fynn Jamal susulan kenyataan berhubung isu rogol yang menimbulkan rasa kurang senang ramai pihak. Bimbang ‘pergi’ dalam keadaan tidak aman, Fynn Jamal memohon maaf di atas kenyataannya itu.

Selepas terpalit dengan kontroversi itu, Fynn menyatakan akan ‘cuci tangan’ dari mengambil tahu masalah sosial yang sering berlaku. Malah, bersedia untuk menutup sebarang bentuk bantuan dan sokongan yang dilakukan selama ini.

BACA: Bimbang ‘Pergi’ Dalam Keadaan Tak Aman, Fynn Jamal Mohon Maaf

“Alhamdulillah hari ini aku menemui kekuatan untuk buat keputusan penutupan segala jenis tempat perlindungan, bantuan motivasi dan kewangan untuk semua kes-kes yang biasa aku uruskan.

“Dari kes mengandung luar nikah, urusan cari keluarga untuk bayi orang susah, kes rogol haruan makan anak, date rape dan segala apa jua, hari ini aku benar-benar cuci tangan,” tulisnya.

Menurutnya, keputusan itu diambil kerana merasakan ianya jalan terbaik ketika ini dan juga tidak mahu lagi pening kepala memikirkan masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat. Ujarnya, selepas ini dia hanya akan memberikan fokus kepada keluarganya sahaja.

“Insya-Allah dengan berlepas tangan begini, aku tidak perlu lagi memikirkan apa yang bukan hak aku pun untuk fikirkan.

“Inilah hadiah terbesar Allah bagi pada aku. Ujian ini benar-benar memberi ruang pada aku untuk keluar daripada semua ini. Tanpanya, susah weh,” tulisnya lagi.

Dalam pada itu, Fynn turut berterima kasih kepada suaminya yang sentiasa memahami dan sanggup ‘meminjamkan’ isterinya untuk sesuatu yang tidak perlu sebenarnya.