fbpx

Baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai penahanan usahawan kosmetik disyaki terlibat sindiket penyeludupan dadah jenis Methamphetamine. Isu itu turut memberi tempias kepada Khai Bahar apabila tular fotonya bersama usahawan tersebut.

Akui menjadi duta produk keluaran syarikat milik usahawan tersebut, Khai berkata dia tidak mengetahui pembabitan lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ itu dengan sindiket berkenaan.

BACA: Khai Bahar, Siti Nordiana Dominasi Top Top MeleTOP 2019

“Saya tak tahu mengenai pembabitan individu itu, tapi saya sedar mengenai gambar kami telah tular di media sosial. Saya baru saja menjadi duta untuk produk minuman susu berperisa keluaran syarikat itu.

“Foto tersebut diambil pada September lalu semasa perbincangan mengenai produk. Tentang isu lain saya tak tahu, saya hanya jalankan tanggungjawab. Itu pun masih belum buat kerja lagi sebagai duta sebab masih baru,” katanya.

Tidak terkesan apabila nama dan gambarnya dikaitkan dengan isu berkenaan, Khai berkata dia menyerahkan sepenuhnya kepada peguam mengenai kontraknya sebagai duta syarikat tersebut.

“Sama ada nak teruskan kerjasama dengan produk itu, saya serahkan kepada peguam sahaja. Sejujurnya isu ini tak ganggu kerjaya sebab saya hanya jalankan kerja sahaja.

“Apa yang berlaku boleh dijadikan pengajaran, mungkin selepas ini saya akan lebih berhati-hati sebelum bersetuju menerima sesuatu tawaran kerja,” katanya.