fbpx

Fizo Omar Dedah Bercinta Dengan Isteri Ketika PKP

Selepas hampir dua tahun bergelar duda, pelakon Fizo Omar mengejutkan ramai apabila selamat bergelar suami kali kedua dengan isterinya Fazeera Nazri Aziz pada 21 Oktober lalu.

Menerusi Insta Story, Fizo berkongsi cerita detik pertemuan dengan isterinya yang juga bekas pramugari berpangkalan di Doha, Qatar sebelum ini.

BACA: Fizo Omar Sah Bergelar Suami Bekas Pramugari

Menurut Fizo, dia bertemu dengan isterinya di suatu tempat serta berkenalan dan bercinta ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya kenal isteri lebih kurang setahun. Sebelum ini dia bekas pramugari Qatar Airways dan tinggal di Doha. Kemudian dia balik ke Malaysia disebabkan PKP.

“Kebetulan dia balik sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dahulu dan kami berjumpa di suatu tempat. Ketika itulah proses mengenali antara satu sama lain.

“Kami terjumpa dan berkenalan, berkawan dan bercinta ketika PKP. Isteri tinggal di Kuala Lumpur dan bukannya di Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Fizo turut meluahkan rasa syukur anaknya, Wan Maryam yang kini berusia empat tahun boleh menerima kehadiran wanita tersebut.

“Apa yang paling penting, Maryam okay dengan isteri,” katanya.

Terdahulu, Fizo pernah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Mawar Karim pada November 2013, namun bercerai pada Julai 2019. Pasangan itu dikurniakan anak perempuan, Wan Maryam, kini berusia 4 tahun.