fbpx

Filem Minggu Ini — The Secret Life of Walter Mitty

The Secret Life of Walter Mitty (2013) ialah sebuah filem drama komedi fantasi arahan dan lakonan utama Ben Stiller yang terkini. Filem ini merupakan adaptasi dari cerpen dengan judul yang sama karya James Thurber (1939) yang juga pernah diangkat ke versi filem pada tahun1947. Kali ini ia dibikin dengan bantuan imej janaan komputer (CGI) yang menyeronokkan lagi penceritaanya berbanding filem adaptasi yang terdahulu.

Sinopsisnya begini, Walter Mitty mesti mengembara ke luar dari dunia selesa dan angan-angannya untuk mencari Sean O’Connell (Sean Penn) iaitu pemilik sekeping negatif gambar no-25 yang hilang. Desakan pencarian tanpa diduga itu ialah kerana ia akan diterbitkan sebagai gambar muka depan terbitan terakhir majalah Life. Yang menjadi taruhan filem ini ialah persoalan: mampukah Walter Mitty benar-benar akan menjumpai Sean atau ia sekadar salah satu dari angan-angan melampau dalam fikirannya sahaja?

Adaptasi filem kali ini hanyalah mengambil asas watak Walter Mitty sahaja yang suka berfantasi dalam kehidupan harian tanpa mengikut jalur cerita aslinya. Pengubahan paling ketara untuk versi filem ini ialah latar watak asal Walter Mitty yang sepatutnya sudah berkahwin.

Ben Stiller mengkreatifkan ceritanya melalui jalan mudah dari perwatakan Walter Mitty yang bujang terlajak serta risiko akan dibuang kerja seandainya dia tidak menghantar tugasan terakhir yang sangat penting itu.

Di samping itu, watak teruna yang keseorangan Mitty memudahkan tambahan plot pencarian seorang kekasih yang sejati iaitu Cheryl Melhoff (Kristen Wiig) seorang ibu tunggal kepada Rich Melhoff (Marcus Antturi). Kelemahan dalaman sebagai seorang yang suka berangan itulah konflik utamanya. Kekurangan luaran dari sudut kehidupan sosial Mitty yang terpinggir keseorangan itu pula ialah cabaran untuk dia buktikan bahawa hidupnya bukanlah seteruk yang disangka. Dari situ, filem ini dikembangkan sebagai sebuah ‘road movie’ yang akan memperlihatkan perubahan diri Walter Mitty dari seorang ‘loser’ kepada seorang ‘hero’ yang matang.

Itulah kelebihan menulis semula sesebuah karya yang diadaptasi kerana Ben Stiller tidak terikat dengan seratus peratus versi asal cerpennya. Ia menjadi sebahagiannya sebagai sebuah filem komedi romantik hubungan di antara Mitty dan Cheryl. Main tarik-tali perasaan cinta itulah yang dimainkan di awal cerita sebagai salah satu punca Mitty perlu berubah untuk membuktikan sesuatu kepada Cheryl dan anaknya.

Filem ini seolah cuba menggarap penceritaan filem-filem komedi seperti Mr. Bean’s Holiday (2007) yang dicampur dengan drama umpama The Motorcycle Diaries (2004). Perwatakan naif Mitty seiras watak Forrest Gump (1994) yang mempunyai kekuatan seperti watak About Schmidt (2002). Namun begitu, Walter Mitty masih terserlah sebagai watak unik yang menjadi rujukan sejak cerpennya dahulu sebagai simbol seseorang yang suka berhalusinasi atau berangan semasa hidup seharian seperti juga watak dongeng Mat Jenin tempatan kita.

The Secret Life of Walter Mitty juga menyorot beberapa plot tambahan yang relevan kepada isu semasa. Misalnya kemodenan teknologi internet yang menamatkan riwayat majalah Life versi cetakan yang hanya akan diterbitkan secara online. Kesan dari perubahan itu digambarkan dengan pengecilan syarikat Mitty bekerja dengan menamatkan perkhidmatan jawatan-jawatan yang dianggap tidak penting lagi. Watak wakil majikan yang menjengkelkan iaitu Ted Hendricks (Adam Scott) begitu sinonim kepada penonton yang pernah dan sedang berdepan dengan boss sebegitu. Begitu juga watak rakan sekerja paling rapat kepada Mitty iaitu Hernando (Adrian Martinez) ialah kawan susah-senang di pejabatnya yang biasa kita bergosip.

Filem ini menyumbatkan beberapa ‘product placement’ yang kelihatan bersahaja tetapi menjadi alat pemasaran yang berkait dengan ceritanya. Pengenalan laman sesawang E-Harmony untuk pencarian pasangan di atas talian oleh watak Todd Maher (Patton Oswalt) dari awal-awal cerita lagi menjadi titik-titik plot singgahan yang mengingatkan tentang perubahan diri Witty. Begitu juga kisah kononnya selepas kematian bapanya, Witty bekerja di Papa John’s. Tetapi kadangkala ada juga plot yang menghairankan serta berlebihan misalnya telefon bimbit Witty sentiasa ada ‘coverage’ di serata dunia tidak kira di mana sahaja waima di atas gunung Himalaya! Hebat!

Latar keluarga Mitty juga memberikan kisah kekeluargaan yang manis. Hubungan Mitty dengan ibunya, Edna Mitty (Shirley MacLaine) dan adiknya, Odessa Mitty (Kathryn Hahn) dikembangkan sebagai subplot yang memberikan asal-usul kenapa Mitty masih bujang kerana dia menyara keluarga selepas kematian bapanya. Watak ibunya juga menjadi penyimpul dan penyelamat konflik Mitty di saat-saat genting hampir ke penghujung cerita.

Kekuatan utama filem ini ialah sinematografi dan muzik latarnya. Mungkin tanpa kombinasi kedua-dua elemen itu, filem ini akan hanya menjadi sebuah filem yang sarat dengan masalah konflik tipikal kehidupan bekerja di kotaraya Amerika sahaja. Filem ini bermula dari sebuah bilik kecil dan tenang bunyi suasana Mitty di depan laptop sahaja.

Ia bergerak semakin pantas mengikut larian Mitty diiringi alunan muzik yang semakin membuak. Filem ini menjadi bertambah menarik diikuti kerana pengembaraan getir Mitty menjejaki Sean O’Connell melalui berbagai lokasi alam sekitar seumpama menonton rancangan tv National Geographic yang penuh drama.

Susunan babak yang diselang-seli sesekali dunia fantasi Witty berjaya mengajak penonton untuk ‘percaya’ dan sekaligus mahukan pengalaman realiti Witty yang lebih hebat. Plot perjalanan Witty yang akan sentiasa jaraknya setapak tertinggal dari Sean menjadikan pencariannya mengikuti laluan yang sukar dan hampir mengecewakan. Akhirnya pertemuan Witty dan Sean menyerlahkan sesuatu yang lebih penting dari sekeping negatif no-25 itu. Witty sebenarnya menemui ‘dirinya’ sendiri.

KESIMPULAN

The Secret Life of Walter Mitty ialah filem arahan dan watak lakonan oleh Ben Stiller yang sedap. Sesekali ada sebahagian diri kita di dalamnya. Sama ada anda suka atau tidak, bergantung kepada latar siapa diri anda? Kalau diringkaskan, mungkin ia kisah individu seperti hashtag #foreveralone yang berubah menjadi seorang insan yang berguna dan ramai kawan!

Saya sudi berikan 3 BIJI ROTIKAYA.