fbpx

Filem Minggu Ini: Gerimis Mengundang

Terkenal dengan gelaran pengarah serba boleh, saudara Ahmad Idham sekali lagi berjaya menambah koleksi filem arahan beliau bertajuk Gerimis Mengundang.

Berbeza dari filem-filem box office sebelum ini seperti filem Hantu Bonceng & Adnan Sempit beliau menampilkan pelakon jelita Olivia Jensen berdarah kacukan Denmark-Indonesia untuk bergandingan bersama pelakon popular, Kamal Adli.

Kami di’jemput khas bersama para media yang lain untuk menyaksikan tayangan perdana filem ini di Tanjong Golden Village (TGV), Sunway Piramid pada 28 Mei 2012.

Filem cinta serumpun ini mengisahkan Zamani (Kamal Adli) seorang juruterbang helikopter bertemu dengan gadis berasal Indonesia Mikha (Olivia Jensen) si jelitawan yang telah berjaya menawan hatinya.

Namun, perjalanan kisah cinta mereka menghadapi pelbagai rintangan dan dugaan dan diakhiri dengan kejadian yang mengejutkan para penonton.

Bagi RotiKaya gandingan dua pelakon serumpun ini amat memuaskan walaupun belum lagi pernah mereka berlakon bersama. Walaupun Olivia Jensen baru berumur 18 tahun, ternyata lakonannya dalam filem ini mampu melonjakkan lagi namanya di persada perfileman.

Lokasi yang dipilih iaitu Sabah adalah amat menarik dengan suasana hijau dan nyaman tidak lupa juga dengan lautan biru yg membangkitkan lagi suasana romantik percintaan filem itu.

Menurut Ahmad Idham yang ditemuramah selepas filem itu berakhir, tajuk “Gerimis Mengundang” itu sendiri dipilih kerana aura namanya kepada semua yang masih ingat pada lagu dari kumpulan Slam.

Tambah beliau lagi, di Indonesia filem ini bakal ditayangkan hampir 80 panggung dan membuatkan pertama kali filem dari Malaysia ditayangkan begitu menyeluruh di Indonesia. Moga rezeki Ahmad Idham makin bertambah.

Rotikaya Rating: 3.5/5