fbpx

Filem Minggu Ini: Bini-Biniku Gangster

Kejayaan demi kejayaan dikecapi oleh produksi penerbitan filem paling aktif di Malaysia, Metrowealth Pictures (MIG) memberi inspirasi kepada semua tenaga kerja MIG untuk menghasilkan filem-filem yang lebih berkualiti dari masa ke semasa.

Filem arahan Ismail “Bob” Hasim yang sinonim melalui filem Ngangkung telah mencapai kutipan filem box-office sebanyak RM8.5 juta.

Pengarah ini begitu sinonim menghasilkan karya-karya bergenre komedi mempersembahkan hasil karya yang terbarunya melalui filem Bini-Biniku Gangster (BBKG). Filem terbitan MIG yang ke-48 merupakan filem ke-3 arahan Ismail “Bob” Hashim.

Melihat kepada fenomena penerimaan penonton terhadap filem-filem bergenre komedi pada masa kini, pihak MIG yakin filem BBKG mampu merancakkan lagi pembangunan industri filem tanah air.

Filem BBKG juga dilihat mampu memberi kelainan terhadap penerbitan filem melayu tempatan khususnya. Intipati yang disampaikan melalui filem BBKG ini secara tidak langsung mampu memberi pengajaran serta teladan kepada remaja khususnya dalam pembangunan modal insan. 

“Di sebalik Tabir Bini-Biniku Gangster”

Penggambaran filem ini telah dijalankan sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam pada awal tahun ini menampilkan nama-nama besar seperti Shaheizy Sam, Yana Shamsudin, Intan Ladyana, Zalif Sidek, Zul Suphia’an dan Boy Iman.

Penampilan pelakon-pelakon berpengalaman seperti Aman Shah, Hamid Gurkha dan Delimawati mampu memberi kelainan yang ditonjolkan oleh pengarah melalui filem ini.

Filem ini mengisahkan Manja (Yana Shamsudin), seorang suri rumah dan isteri kepada Herry (Shaheizy Sam), yang bekerja sebagai seorang arkitek di sebuah syarikat swasta. Walaupun setelah setahun berkahwin, mereka masih tidak dikurniakan cahaya mata disebabkan Manja mandul.

Tanpa pengetahuan Herry, Manja juga merupakan ketua gangster. Manja telah mengupah anak buahnya iaitu Muza (Zul Suphia’an) dan Totty (Boy Iman) untuk melindungi Herry yang sering dibuli oleh rakan sepejabatnya Mat Saja (Zalif Sidek).

Di saat Manja sibuk dengan tugasannya sebagai seorang gangster, Herry pula berkenalan dengan Reanna (Intan Ladyana), rakan sepejabat Herry yang baru memulakan tugas di pejabatnya sebagai pembantu Herry. Hubungan Herry dan Reanna telah dikesan oleh Manja dan Manja mengizinkan Herry untuk berkahwin dengan Reanna agar rahsianya sebagai seorang gangster tidak terbongkar selain dengan harapan untuk menimang cahaya mata.

Di awal kehidupan bermadu tiada sebarang masalah yang timbul di antara Manja dan Reanna sehinggalah berlakunya kekecohan di kawasan jajahan Manja. Permusuhan kumpulan yang diketuai oleh Manja dengan kumpulan lain tanpa diduga diketuai oleh madunya Reanna yang mempunyai abang iaitu Min Siam (Alex Yanz) yang turut terlibat di dalam kumpulan gangster setelah Manja turun untuk menyelesaikan persengketaan antara mereka.

Bermula dari saat itu, mereka berperang dingin di rumah, Manja dan Reanna kelihatan begitu bahagia dan bertolak ansur di hadapan Herry tetapi mereka bertindak kejam apabila melibatkan hal-hal luar. Mereka tidak berdamai sehingga Herry hilang secara tiba-tiba pada suatu hari…

Keseluruhan perjalanan filem ini diolah begitu santai oleh pengarah. Lakonan yang mantap ditampilkan oleh Shaheizy Sam melalui filem ini namun kewibawaan beliau mampu diketengahkan dengan lebih menarik sekiranya elemen aksi dapat diserap dengan lebih banyak.

Percubaan pertama Yana Shamsudin sebagai salah seorang penulis skrip harus mendapat pujian. Namun begitu terdapat beberapa babak yang mampu mengundang kontravesi penonton seperti Herry menjerit di dalam masjid setelah upacara pernikahannya selesai.

Filem ini sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat sebagai hiburan santai seisi keluarga.

Saksikan aksi dan konflik yang timbul antara Manja dan Reanna. Dapatkah mereka menemui jalan penyelesaian? Adakah Manja dan Reanna akan berdamai? Siapakah dalang sebenar disebalik semua kejadian yang berlaku?

Saksikan kesudahan filem ini yang bakal menemui penonton di pawagam berhampiran mulai 22 September 2011. BINI-BINIKU GANGSTER ‘Lu Langsi Wa Kahwin Lagi’