fbpx

Ketua juri Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) iaitu Datuk Mokhzani Ismail berkata lagu Hasrat dinobat sebagai juara kerana ia mempunyai ‘major’ lagu yang sangat berkualiti.

Memetik Oh Bulan, Mokhzani berkata lagu ciptaan Amir Jahari itu ada ‘sesuatu’ berbanding 11 lagu lain yang bertanding dan jika mendengar akan terngiang-ngiang.

BACA: Hasrat Dinobat Juara Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38)

“Melodi, nada, lirik dan semua perkara akan diambil kira dalam lagu tersebut. Tiga lagu yang menang juri pilih adalah lagu yang terbaik di antara terbaik.

“Untuk mencipta lagu, perkara yang paling susah adalah bahagian major dalam lagu dan Hasrat mempunyai major lagu yang sangat berkualiti.

“Ada sesuatu yang juri lihat pada Hasrat, bukan bermakna lagu lain tidak berkualiti, tetapi Hasrat lain daripada lain. Kalau dengar akan terngiang-ngiang.

“Lagu itu mungkin senang untuk dinyanyikan, tetapi bila ada garapan lirik yang baik ditambah pula dengan okestra yang hebat, oleh itu juri sepakat pilih Hasrat sebagai juara,” katanya.

Dalam pada itu, Mokhzani berkata perbezaan markah antara lagu Hasrat dan Sutera nyanyian Aisha Retno tidak jauh serta menyifatkan lagu berkenaan adalah dimensi baru dalam industri muzik.

“Perbezaan lagu Hasrat dan Sutera tidak begitu jauh. Sutera adalah sebuah lagu bergenre EDM (Electric Dance Music) yany juga bagus. Sesuatu suntikan baharu buat industri kita.

“Untuk lagu Jangan Mati Rasa Itu markah antara lagu Hasrat dan Sutera agak jauh. Tetapi kehebatan Aina tidak disangkal lagi. Sudah pasti Aina datang dalam satu pakej,” katanya.