fbpx

Fendy Caliph Buskers Dapat Rumah PPR, Sewa Dikecualikan Selama Setahun

Penantian selama tujuh tahun anggota Caliph Buskers, Fendy Adlun untuk menyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) akhirnya tercapai apabila dia menerima surat tawaran mendiami PPR Taman Mulia, Bandar Tun Razak, semalam.

Meluahkan rasa syukur, Fendy berkata lokasi rumah tersebut juga memudahkannya untuk bergerak memandangkan ia berhampiran dengan dengan kemudahan awam transit aliran ringan (LRT).

BACA: Fendy Caliph Buskers Minta Rumah PPR, Tak Mampu Bayar Sewa Rumah

“Saya dimaklumkan kunci unit kediaman dua bilik itu nanti sudah boleh diambil beberapa hari lagi. Rasanya selepas dibersihkan, baharu saya dapat pindahkan dulu barang.

“Kalau boleh memang nak masuk cepat ke rumah baharu, sekarang tengah dalam proses kemas dan bungkus barang. Mungkin saya minta tolong kawan untuk pindahkan perabot dan sebagainya.

“Sudah tujuh tahun saya pohon. Akhirnya mendapat perhatian malah lebih mengharukan apabila dihubungi menteri sendiri yang bertanyakan keadaan kami dan semalam berpeluang pula bertemu beliau,” katanya.

Semalam, dokumen tawaran rumah berkenaan diserahkan kepada Fendy oleh Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Dalam pada itu, Fendy turut berkongsikan perancangannya selepas pindah nanti dimana dia mahu menyediakan satu ruang selesa untuk memudahkannya berkarya. Ujarnya, meskipun kerjayanya terjejas susulan pandemik namun dia mahu terus produktif serta ingin hasilkan sebuah lagu baru.

Sementara itu, Fendy berharap dapat membawa anaknya Nur Azalea, 6 tahun yang juga mempunyai masalah penglihatan serta autisme untuk menjalani terapi bagi membolehkan keadaannya terus cergas.

“Sepatutnya anak saya menjalani terapi di sebuah hospital sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal tahun ini tetapi terpaksa ditangguhkan.

“Jadi kena tunggu dulu sampai semuanya kembali reda. Buat masa ini, bekas isteri pun bergilir-gilir menjaganya,” katanya.

Terdahulu, Fendy berkahwin dengan seorang lagi anggota Caliph Buskers iaitu Nadira Rubin pada Mei 2014, namun bercerai pada 2018. Pasangan itu dikurniakan seroang cahaya mata kini berusia 6 tahun.