fbpx

Fendy Bakry Seronok Bangun Pagi Ada Isteri Di Sebelah

Selamat mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan hati yang dikenali sebagai Ayu pada 30 Ogos lalu, pelakon Fendy Bakry mengakui kehidupannya kini lebih terurus disamping isteri tercinta.

Sudah hampir sebulan bergelar suami, Fendy turut bersyukur dan gembira diberikan isteri yang memahami kerjaya seninya. Malah, sangat seronok menempuhi kehidupan baru sabagai suami.

BACA: Fendy Bakry Selamat Bernikah Dengan Gadis Pilihan Hati

“Alhamdulillah, seronok sejak bergelar suami. Bangun pagi, ada orang dekat sebelah. Saya akui kehidupan saya selepas berkahwin ini lebih tersusun. Syukur ada seorang isteri yang memahami kerjaya saya,” katanya kepada Harian Metro.

Berkongsikan cerita mengenai perkenalannya dengan isteri, Fendy berkata dia mula mengenali isterinya ketika sama-sama menyertai karnival teater di Kedah pada tiga tahun lalu namun hanya sekadar kawan biasa.

“Pertama kali kami kenal ketika sama-sama sertai karnival teater di Kedah. Tak ada istilah bercinta atau nak keluar makan dan tengok wayang. Hanya kawan biasa.

“Kami pun jarang berhubung, mungkin sebulan sekali. Terdetik hati saya nak melamar dia sebab nampak ada ciri kebaikan yang ada pada dia. Lagipun usia saya dah 32.

“Sudah sampai masa untuk berumah tangga. Jadi saya tanya pada dia ‘kau nak kahwin tak dengan aku’. Kami uruskan persiapan nak kahwin pun dalam masa dua bulan saja. Kiranya, kami ini bercinta selepas kahwin,” katanya.