fbpx

Fedtri Yahya Kemalangan, Selamat Jalani Pembedahan

Pengacara dan penulis lirik, Ahmad Fedtri Yahya, cedera di muka selepas terlibat kemalangan kecil terjatuh dari basikal semalam. Difahamkan, kejadian itu berlaku selepas selesai membuat liputan sempena dengan Sambutan Hari Malaysia.

Akibat kemalangan itu, Fedtri mengalami kecederaan di bibir, kening, dagu dan rahang. Isterinya, Anati Ismail berkata, Fedtri tidak mengalami kecederaan serius pada anggota badan lain dan selamat menjalani pembedahan.

BACA: “Kenapa Ustaz Perlu Kaya, Supaya Kafir Tak Pandang Hina”

“Alhamdulillah, suami selamat menjalani pembedahan semalam. Cuma, bibir bengkak sebab bahagian dalam mulut dijahit kerana tulang rahang patah dan perlu dimasukkan skru di kiri dan kanan.

“Dia juga dibawa untuk ujian imbasan x-ray. Doakan yang terbaik untuk kesembuhannya. Terima kasih atas doa daripada semua,” katanya kepada Harian Metro.

Kata Anati lagi, suaminya jatuh tersembam menyebabkan bahagian muka mengalami kecederaan dan ketika itu dia memakai topi keledar.

“Saya difahamkan suami pakai topi keledar, cuma dia jatuh tersembam. Ketika bangun, dia tak rasa apa-apa, tapi dia pelik apabila orang terkejut melihat mukanya yang berdarah.

“Jadi, selepas dibawa ke hospital, doktor sarankan untuk buat pembedahan untuk betulkan tulang rahang yang patah,” katanya.