Fauziah Latiff Fokus Jaga Ibu, Belum Terbuka Terima Cinta

Penyanyi Fauziah Latiff berkata hatinya belum terbuka untuk menerima kehadiran lelaki selepas dua kali gagal dalam rumah tangga.

Memetik Harian Metro, penyanyi berusia 55 tahun itu berkata fokus utamanya kini adalah untuk menjaga ibunya yang kini sudah lanjut usia.

BACA: Kini Jumpa Pengganti, Fauziah Latiff Rancang Nikah Tahun Ini

“Alhamdulillah, saya selesa dengan kehidupan sekarang. Jika diri sendiri belum terjaga, bagaimana pula mahu jaga orang lain?

“Buat masa ini, saya bahagia dan bersyukur dapat menjaga mak. Itu tanggungjawab saya sebagai anak kerana mak adalah nadi kehidupan saya.

“Sekarang adalah masa untuk saya membalas jasanya. Soal lain, saya ketepikan dahulu kerana belum tiba waktunya,” katanya.

Sementara itu, Fauziah berkata dia kini gemar melakukan perkara yang memberikan ketenangan dan memperbaiki diri. Malah, dia menyifatkan ibu tersayang adalah segalanya buat dirinya.

“Saya sedar masih banyak perkara yang perlu diperbaiki termasuk mengenali diri sendiri dan persekitaran. Lagipun sekarang sudah akhir zaman.

“Segala yang boleh memberikan ketenangan jiwa akan saya utamakan. Seperti sekarang, menjaga ibu memberi makna besar buat saya. Dia adalah segalanya dan menjadi penyelamat dalam hidup saya,” katanya.

Terdahulu, Fauziah pernah mendirikan rumah tangga dengan Syed Budriz Putra Syed Amir Zainal Abidin Jamalullail pada tahun 1992 namun bercerai selepas tiga tahun.

Fauziah berkahwin kali kedua lima tahun kemudian dengan ahli perniagaan Johan Indot di London, namun bercerai pada 2007. Mereka dikurniakan dua anak lelaki, Jeffri Joaquim, 26, dan Jeremy Jay, 24.

SUMBER: Harian Metro

×