fbpx

Fattah Amin Kena ‘Tempias’ Kehamilan Fazura, Asyik Nak Makan Manis

Bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi dan usia kandungan anaknya kini memasuki bulan kelima, Fattah Amin berkata dia turut terkena tempias ibu mengandung apabila mengalami perubahan selera makan.

Berkongsi pengalaman sepanjang isterinya, Nur Fazura berbadan dua, Fattah berkata dia tidak mengalami alahan yang teruk namun mengidam untuk makan makanan yang manis hampir setiap hari.

BACA: Risaukan Fazura & Anak Dalam Kandungan, Fattah Amin Jadi Paranoid

“Sewaktu usia kandungan Fazura memasuki bulan kelima, saya ada mengalami sedikit perubahan, saya tahu ada orang cakap, kalau isteri tak mengalami alahan, mungkin kena pada suami.

“Namun apa yang saya alami tidaklah teruk, saya cuma bertambah selera makan sahaja, ketika itu, hari-hari saya mahu makan makanan manis,” katanya.

Dalam pada itu, Fattah berkata dia sedar badannya mengalami perubahan daripada biasa terutama di bahagian muka hanya setelah dia memasuki set untuk menjalani penggambaran drama.

“Sampailah bila tiba waktu saya mahu jalani penggambaran, saya sedar muka saya lebih bulat dari biasa,” katanya.

Bakal menyambut cahaya mata sulung dijangka pada Oktober depan, Fattah berkata dia sangat teruja dan pada masa yang sama gementar bakal bergelar bapa.

“Sekarang kehamilan isteri saya sudah masuk bulan yang ketujuh, insya-Allah dia akan bersalin sekitar bulan Oktober ini, sikit masa sahaja lagi.

“Saya rasa teruja dan gementar kerana ini pengalaman pertama saya menyambut kelahiran cahaya mata, saya harap para peminat mendoakan agar segala urusan saya dan Fazura dipermudahkan Allah,” katanya lagi.