fbpx

Fasha Sandha Terkejut Terima Panggilan Dari Sugu Pavithra

Sebut sahaja nama YouTuber Sugu Pavithra, ramai yang kini mengenali mereka. Berjaya menambat hati rakyat Malaysia dengan resepi masakan dan kisah kehidupan sederhana, pasangan itu kini meraih jumlah subscriber lebih 700k.

Muncul sebagai model di sebuah portal lifestyle Pepatung baru-baru ini, siapa sangka Pavithra memberitahu bahawa selebriti kegemarannya adalah Fasha Sandha. Malah, Pavithra turut teruja apabila dapat berborak melalui panggilan video dengan Fasha.

BACA: Lagi 7 Minggu Nak Bersalin, Fasha Sandha Tak Sempat Buat Persiapan

Dalam pada itu, Fasha akui terkejut dan terharu apabila diberitahu Pavithra sangat meminatinya serta sering mengikuti drama lakonannya. Pavithra juga berkata dia akan turut menangis apabila menonton babaknya menangis.

“Sejujurnya saya terkejut apabila penulis menghubungi dan beritahu bahawa Sugu Pavithra yang terkenal di YouTube amat meminati saya serta mengikuti dalam lakonan saya. Malah, dia turut menangis apabila menonton babak saya menangis.

“Saya amat terkejut kerana jarang jarang ada penonton berbangsa India yang mengikuti semua drama saya. Masa mula-mula Pavithra hubungi saya agak terkejut sebab muka dia tak sama macam saya tengok dalam berita, rupa-rupanya dah disolek dengan begitu cantik sekali.

“Pavithra ada beritahu bahawa dia dan keluarga meminati saya dan saya berterima kasih serta turut memberitahu bahawa saya sentiasa doakan dia terus berjaya di saluran YouTube,” katanya kepada mStar Online.

Menerusi temubual bersama portal itu, Pavithra mendedahkan dia meminati subjek bahasa Melayu di sekolah dan mengasah kemahiran bahasa kebangsaan itu dengan menonton drama-drama Melayu.