fbpx

Ezad Exist Mengaku Bersalah Tuduhan Miliki Dadah

Bekas vokalis kumpulan Exist iaitu Ezad Lazim mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah jenis syabu seberat 0.30 gram pada 19 November tahun lalu, lapor terbaru mStar Online hari ini.

Pengakuan Ezad Lazim atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim dibuat dihadapan Majistret Nurul Izzah Hassan Basri di Mahkamah Majistret Selayang manakala pertuduhan pula dibacakan oleh pendakwa raya, Arunjothy dan Ezad tidak diwakili peguam.

Bagaimanapun Nurul Izzah menetapkan 10 Februari ini bagi menjatuhkan hukuman bagi kesalahan tersebut. Siasatan kes tersebut dibuat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 15 (1) (a) akta yang sama.

Ezad yang berasal dari Alor Setar, Kedah ditangkap berhampiran Kompleks Selayang Mall kira-kira pukul 1.30 petang pada 19 November tahun lalu dengan dia menggenggam satu paket syabu pada tangan kirinya. Hasil pemeriksaan air kencing juga mendapati dia positif dadah jenis syabu.