fbpx

Enggan Tagih Simpati Dedah Penyakit, Maya Hidap Kanser Sarcoma

Semalam, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan pemergian Maya Matahari yang meninggal dunia kira-kira jam 4 petang semalam akibat penyakit kanser sarcoma tahap empat yang dideritainya sejak beberapa tahun lalu.

Difahamkan, arwah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke sebuah hospital swasta di Sungai Buloh selepas mengadu sesak nafas. Rakan baiknya memberitahu arwah menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya, di dalam ambulans.

BACA: Maya Matahari Meninggal Dunia

“Arwah sesak nafas selepas makan tengah hari. Jururawat peribadi yang menjaganya menghubungi ambulans dan menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke hospital.

“Saya mendapat berita arwah sesak nafas dan terus ke hospital. Bagaimanapun, saya diberitahu arwah meninggal dunia dalam perjalanan, tidak lama kemudian.

“Arwah sudah lama menderita penyakit kanser sarcoma. Keadaan kesihatannya semakin merosot selepas menyertai program realiti, Gegar Vaganza (GV) musim kelima pada 2018,” katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Nurzana berkata arwah baru sahaja pulang mendapatkan rawatan di sebuah hospital di China, bulan lalu. Katanya lagi, arwah enggan mendedahkan penyakitnya kepada umum kerana tidak mahu dianggap menagih simpati.

“Sebelum mendapatkan rawatan di China, keadaan kesihatan terjejas teruk dan pergerakannya terbatas.

“Disebabkan itu, arwah banyak menyepikan diri. Dia enggan mendedahkan penyakit kerana tidak mahu netizen menganggapnya menagih simpati dan cuba meraih populariti. Arwah tahu dia akan mendapat perhatian jika rahsia penyakitnya didedahkan,” katanya.

Dalam pada itu, Nuzana berkata arwah sudah bersedia untuk memberitahu kepada umum tentang penyakitnya itu namun menangguhkannya sehingga kesihatannya stabil tetapi Allah lebih menyayanginya.