fbpx

Enam Kali Mira Filzah Tampar Muka Zul Ariffin

Bukan mudah bergelar pelakon apatah lagi untuk menjiwai sesuatu watak. Mira Filzah mengaku enam kali menampar Zul Ariffin bagi menghidupkan sebuah babak dalam filem terbaru lakonan mereka, Sangkar.

Mira berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana mengikut kehendak skrip filem tersebut yang bakal menemui penonton di pawagam mulai 29 Ogos depan.

BACA: “Imej Bertudung Bataskan Pemilihan Watak Untuk Saya”

“Saya memang betul-betul menampar Zul, bukan main-main. Begitupun, sudah tentulah saya melakukan semua itu atas keizinannya juga. Saya rasa, setakat tamparan saya, Zul takkan rasa apa-apa,” katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Mira berkata dia sangat teruja apabila diberi peluang untuk menerajui filem arahan Kabir Bhatia bersama-sama Remy Ishak, Niezam Zaidi, Nik Adam Mika, Aman Graseka dan James McSweeney itu.

“Saya seronok dapat bekerjasama dengan Zul, Remy dan Kabir sepanjang penggambaran filem ini.

“Kabir sendiri seorang pengarah yang sangat teliti ketika bekerja, manakala Zul dan Remy pula pelakon profesional. Jadi, bekerja dengan mereka begitu memudahkan,” katanya.