fbpx

Empat Tahun Menanti, Shah Iskandar Bakal Timang Anak Pertama

Selepas empat tahun menanti, tahniah diucapkan buat pelakon Shah Iskandar yang bakal menimang cahaya mata pertama apabila isterinya Siti Sarah Mohd Noor disahkan hamil dan usia kandungan kini mencecah empat bulan.

Berita gembira itu dikongsikan oleh Shah menerusi Instagram sempena ulang tahun kelahiran isterinya. Menurut Shah, berita kehamilan itu diterima selepas pulang dari penggambaran di Uzbekistan dan Makkah awal Februari lalu.

BACA: “Mungkin Silap Saya Cakap Nak Rancang, Hingga Kini Belum Dapat Anak”

“Alhamdulillah, berkat doa keluarga dan kawan-kawan akhirnya kami bakal dikurniakan cahaya mata pertama. Selepas pulang menjalani penggambaran di Makkah, baru saya bawa isteri ke klinik untuk buat pemeriksaan bagi mendapatkan pengesahan daripada doktor.

“Sebelum ni tak pernah lagi ada rezeki. Ini kali pertama dan saya agak risau dan bercampur teruja. Teruja kerana tak lama lagi saya akan menjadi ‘Daddy Shah’.

“Insya Allah, jantina bayi akan dapat diketahui bulan depan. Sebenarnya, kami tak kisah bayi lelaki atau perempuan kerana anak adalah anugerah terbaik daripada Allah SWT. Apa yang penting bayi yang bakal lahir sihat dan cukup sifat,” katanya kepada Harian Metro.

Shah berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia dan isteri mengambil peluang untuk belajar mengenai ilmu dan tips keibubapaan. Malah, dia dan isteri mengakui tidak sabar untuk bergelar ibu bapa.

“Kami berdua mangambil kesempatan PKP dan bulan Ramadan ini untuk duduk di rumah dan banyak membaca buku keibubapaan. Isteri juga kerap mengaji al-Quran selepas waktu sahur dan solat Subuh dan juga selepas berbuka puasa puasa dan Maghrib sambil menunggu Isyak.

“Saya dan isteri tidak sabar nak masuk ke alam ‘mummy daddy’. Begitu juga dengan kedua ibu bapa kami yang sangat gembira bila dapat tahu khabar ini,” katanya.

Shah mendirikan rumah tangga dengan Siti Sarah di The Ballroom At East Coast, Singapura pada 16 Januari 2016.