fbpx

Empat Hari Ditayangkan, Polis Evo 3 Kutip RM16 Juta

Nampaknya filem Polis Evo 3 terus cemerlang apabila berjaya memperoleh kutipan RM16 juta selepas empat hari ditayangkan di pawagam.

Meskipun perlu bersaing hebat dengan filem Hollywood, Fast X, namun Polis Evo 3 tetap mendapat tempat dikalangan peminat filem tempatan.

BACA: Tidak Sampai Seminggu, Polis Evo 2 Kutip RM10 Juta

Memetik mStar Online, Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad meluahkan rasa syukur di atas sambutan diberikan.

Dalam pada itu, pihaknya turut berharap di musim cuti sekolah ini lebih ramai peminat akan membeli tiket dan merebut peluang untuk menonton Polis Evo 3.

“Memandangkan cuti sekolah telah tiba, kami mengharapkan lebih ramai penonton dapat datang menyaksikan filem aksi komedi ini bersama seisi keluarga kerana filem ini memang sesuai untuk hiburan sekeluarga.

“Kami memulakan sesi jelajah di Pantai Timur dan disambut meriah peminat. Ada yang sanggup datang dari jauh untuk menyaksikan filem ini,” katanya.

Polis Evo 3 menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Eyka Farhana dan ramai lagi.

Ia mengisahkan Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaharu dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza. Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai.

Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai.