fbpx

Elyana Kecewa Dituduh Menipu Sakit Kanser

Pada Disember tahun lalu, penyanyi Elyana berkongsi khabar gembira akhirnya bebas daripada kanser limfoma selepas 11 tahun berjuang. Namun, Elyana meluahkan rasa kecewa apabila ada pihak mendakwanya menipu tentang kanser limfoma yang dialaminya.

Malah, Elyana mendedahkan ada di kalangan rakan baiknya turut menyebarkan dakwaan tersebut sedangkan dia yang bersusah sebelum ini tiada siapa tahu.

BACA: Elyana Gembira Berat Badan Naik Selepas Bebas Kanser

“Pada awalnya saya memang rasa kecewa kerana saya sudah sakit lebih 10 tahun. Memang banyak sangat dengar, ada juga kalangan rakan baik yang cakap seperti itu.

“Walaupun dia tahu kita ulang-alik ke hospital, anak kita sanggup tak sekolah kerana tiada siapa yang dapat hantar. Mereka tahu perkara ini.

“Tetapi saya menganggap orang seperti ini, dia tidak membantu semasa saya sakit. Jadi, mereka ini memang tidak tahu ‘struggle’ saya macam mana,” katanya.

Dalam pada itu, Elyana berkata dia memaafkan mana-mana pihak atau netizen yang pernah memfitnah dirinya sebelum ini.

“Jadi, mereka ini boleh melontarkan apa sahaja dalam fikirannya. Kebanyakan juga, antara warganet yang pernah bercakap yang tidak baik seperti memfitnah.

“Mereka cakap saya ini tidak sakit dan bercakap buruk mengenai saya. Mereka ini sendiri meminta maaf menerusi pesanan langsung (DM). Alhamdulillah, semua sedar apa yang mereka lakukan itu adalah salah. Saya maafkan,” katanya.

Elyana turut memberikan pesanan kepada mereka diluar sana supaya berfikir dahulu sebelum berkata sesuatu tentang orang lain. Ujarnya lagi, dia tidak akan menipu lebih-lebih lagi tentang sakit.

“Bagi saya, saya tidak akan menipu mengenai sakit. Tidak mungkin, kerana setiap kata itu adalah doa. Saya percaya akan kifarah, apabila kita bercakap buruk tentang seseorang, Allah nak balas kepada kita itu sekelip mata sahaja. Kita kena jaga kata-kata dan pemikiran,” katanya.

Berkongsi perkembangan kesihatannya, Elyana memberitahu dia masih mempunyai empat kali rawatan kemoterapi yang perlu dijalani setiap dua minggu sekali.