fbpx

Elyana Gembira Berat Badan Naik Selepas Bebas Kanser

Pada Disember tahun lalu, penyanyi Elyana berkongsi khabar gembira akhirnya bebas daripada kanser limfoma selepas 11 tahun berjuang.

Mengakui tidak mahu terlalu gembira apabila sel kanser sudah tiada, Elyana meluahkan rasa syukur doanya untuk kembali sihat dimakbulkan Allah.

BACA: Bebas Kanser, Elyana Dedah Identiti Doktor Yang 10 Tahun Merawatnya

“Saya lega… Bagai ada satu beban yang saya pikul selama ini sudah tiada. Tetapi saya tidak boleh gembira terlalu awal sebab kanser boleh datang semula bila-bila masa sahaja.

“Jadi, saya hanya nikmati apa yang ada sekarang. Saya tidak berharap sangat, namun, alhamdulillah selepas lebih 10 tahun, doa saya dimakbulkan. Saya rasakan diri ini bagai dilahirkan semula,” katanya.

Elyana turut berkongsikan berita gembira berat badannya juga semakin bertambah daripada 35kg kini sudah mencecah 60kg.

“Jadi, daripada berat badan hanya 35 kilogram (kg), sekarang sudah mencecah 60 kg. Sejujurnya, saya tidak berpantang makanan dan disebabkan itu, ramai netizen mengecam saya,” katanya.

Kata Elyana lagi, dia mengamalkan pantang ketika lima tahun pertama selepas disahkan menghidap kanser bagaimanapun tubuhnya menjadi lemah.

“Tetapi saya jadi lemah. Mental turut terkesan sebab saya rasa diri ini sakit. Selepas itu, saya teruskan macam biasa, nak makan apa, saya makan tetapi berpada-pada.

“Sebab bagi saya, semuanya yang diambil berlebihan akan memudaratkan,” katanya.

Berkongsikan mengenai dua anaknya, Cinta Sumayyah dan Cahaya Ramadhani, Elyana berkata mereka paling gembira apabila mendapat tahu ibu mereka sudah bebas kanser.

“Anak-anak saya paling gembira terutama Cinta sebab dia sudah besar. Sejak Cinta berusia enam bulan, saya disahkan menghidap kanser. Sekarang, umur Cinta sudah menginjak 11 tahun. Dia dapat rasa perbezaan ibunya dahulu dan sekarang.

“Kalau dahulu, pergi bercuti pun, ibu tidak boleh temani dia melakukan aktiviti seperti mandi kolam kerana hanya terbaring di dalam bilik disebabkan penat. Sekarang, Cinta gembira sebab semua aktivitinya saya sertai sama,” katanya.