fbpx

Elizabeth Tan Nak Kawin, Tapi Belum Sedia Miliki Anak

Usianya kini mencecah 27 tahun, Elizabeth Tan berkata dia mahu menamatkan zaman bujangnya dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi. Menurut Lizzy, dia sedar apabila usia 30 tahun karier dalam industri tanah air akan menjadi perlahan.

Bagaimanapun, Lizzy berkata dia tidak pasti sama ada bersedia untuk menimang cahaya mata atau tidak. Menurutnya, apabila sudah mempunyai anak secara tidak langsung kehidupan akan berubah dan tumpuan akan diberikan kepada mereka.

BACA: Teman Wanita Psiko Ugut Simbah Asid Ke Muka Elizabeth Tan

“Dalam tiga tahun lagi, saya akan menginjak usia 30 tahun. Kebiasaannya dalam industri hiburan tempatan, karier pada usia itu akan menjadi perlahan dan itu adalah fakta.

“Saya adalah anak bongsu dan rata-rata rakan saya tidak melihat saya akan berkahwin. Apapun, saya rasa saya akan bersedia untuk berkahwin namun mungkin tidak bersedia untuk memiliki anak.

“Apabila memiliki anak, kehidupan kita sepenuhnya tertumpu kepada mereka. Sejujurnya, saya tiada terfikir pun untuk menimang cahaya mata,” katanya kepada Harian Metro.

Meskipun bermula sebagai penyanyi, Lizzy berkata dia lebih suka berlakon dan mengakui itulah yang diimpikan sejak dari kecil lagi.

“Saya memang sangat seronok jadi pelakon dan tidak tahu bagaimana untuk gambarkannya. Sejak kecil lagi, saya akan cipta senario sendiri untuk berlakon depan cermin.

“Sekarang barulah saya mendapat tawaran yang banyak dalam lakonan dan benar-benar mahu meneroka bidang itu. Lakonan adalah bidang nombor satu paling saya cintai sebenarnya,” katanya.